Amalkan penjarakan sosial ketika beriadah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Melakukan aktiviti riadah dan rekreasi bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan melahirkan sebuah institusi keluarga yang bahagia, akan tetapi orang ramai sentiasa diingatkan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal pada setiap masa.

Antara tempat-tempat yang sering dikunjungi untuk melakukan aktiviti riadah dan rekreasi adalah di Dermaga Diraja dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).

Dalam temu bual media dengan Haji Dasnan bin Haji Ibrahim, 38, salah seorang pengunjung yang melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut menjelaskan bahawa, aktiviti berlari di kawasan tempat pejalan kaki di antara dua kawasan tersebut telah dibuat sejak beberapa minggu yang lalu.

“Walaupun kawasan ini telah menjadi tumpuan orang ramai yang membuat aktiviti berlari tapi masing-masing masih menekankan terhadap penjarakan sosial semasa melakukan aktiviti riadah mereka”, jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, “Walaupun negara dalam usaha mengawal pandemik COVID-19 pada masa ini dan negara tidak mencatat sebarang kes jangkitan baharu, akan tetapi ini bukanlah satu alasan untuk mengabaikan apa yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan.”

Sementara Dayang Maimon binti Awang Samsuddin, 29, berkata, “Saya dan keluarga sering berkunjung ke sini setiap hujung minggu untuk meluangkan masa sambil melihat pemandangan Kampong Ayer dan pemandangan Jambatan RIPAHS.”

“Kawasan ini bukan saja dikunjungi oleh warga tempatan tetapi ia juga menjadi pilihan pelancong yang ingin berehat dan melihat keindahan Kampong Ayer dan Jambatan RIPAHS pada waktu malam”, jelasnya.

 

Antara pengunjung yang melakukan aktiviti riadah dan rekreasi di kawasan dermaga di ibu negara.