Amalkan sikap bersedekah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN,15 DIS – Amalan bersedekah sememangnya amalan yang sangat dituntut di dalam agama Islam, kerana dengan bersedekah, ia bukan sahaja dijanjikan dengan ganjaran pahala, tetapi ia juga dapat menyucikan jiwa dan harta seseorang individu.

“Pada dasarnya mengeluarkan rezeki di jalan Allah adalah sangat dituntut, di mana setiap penghasilan yang kita perolehi di dalamnya terdapat hak orang lain. Justeru kita seharusnya mengeluarkan sebahagian hasil yang kita miliki itu untuk membantu orang yang lebih memerlukan.”

Perkara tersebut merupakan antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Sedekah Penyuci Jiwa Pembersih Harta’ yang disampaikan oleh Guru Agama Terlatih, Kementerian Pertahanan, Awang Muhammad Abdussalam bin Haji Jahari semasa Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara, pagi tadi.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat;  Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan awam dan tentera, pegawai dan kakitangan kementerian pertahanan dan ABDB.

Awang Muhammad Abdussalam dalam ceramahnya seterusnya menerangkan bahawa bersedekah merupakan amalan yang tidak akan putus manfaatnya walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya.”

Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada minggu ini dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pertahanan dengan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri, merupakan satu program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

Program tersebut turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara ‘Bandarku Ceria’, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bersama jemaah lainnya ketika mendengarkan tazkirah berkenaan.