Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seramai 48 orang murid terdiri daripada 22 orang murid lelaki dan 26 orang murid perempuan Sekolah Ugama Tanah Jambu, Kawasan Brunei II ’B’, baru-baru ini, telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juzuk.
Majlis yang berlangsung Dewan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Perpindahan Mentiri itu merupakan aktiviti tahunan sekolah bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Hajah Norjarah binti Haji Ludin. Antara lain tujuan majlis berkenaan diadakan adalah untuk memupuk semangat bagi murid-murid agar sentiasa mencintai dan menghayati Al-Quran dan ajaran agama Islam di samping melatih murid-murid supaya lebih berusaha bagi mendapatkan keredaan Allah SWT dan dipermudahkan dalam melakukan segala pekerjaan.