Sunday, July 7, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Amalkan sikap optimisme untuk kehidupan lebih sihat

    NEW YORK – Prince Bhojwani tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang yang negatif sehinggalah tiga kunjungan ke hospital dalam sebulan memaksanya untuk mempertimbangkannya semula.

    Sebelum Mei 2018, beliau adalah seorang pengasas syarikat pemula yang sihat tetapi selalu bimbang dan kerap melakukan kayuhan basikal sejauh 32 kilometer.

    Apabila dia tiba-tiba hampir tidak boleh berjalan, dengan penglihatannya yang kabur dan tekanan darah yang tinggi, doktor di bilik kecemasan mengesyaki dia mengalami strok, tetapi tidak dapat mengenal pasti punca penyakitnya.

    Namun, seorang rakan rapat – ‘salah seorang yang paling optimis yang saya kenal,’ mengatakan bahawa Bhojwani sentiasa kurang yakin bahawa segala-galanya akan berjalan lancar dan mencadangkan pemikiran negatif berkenaan telah menyebabkannya keletihan.

    “Pada hari berikutnya, saya mula melihat dunia dengan cara yang sangat berbeza, secara literal,” kata Bhojwani, yang tinggal di New York City.

    Prince Bhojwani duduk di atas gunung Charlies Bunion di sepanjang Laluan Appalachian di Tennessee pada 17 April 2022. – AP
    Hayami Koga, penyelidik kedoktoran di Pusat Harvard pada 23 Mei 2023. – AP
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Dia mula bermeditasi dan meluangkan masa setiap pagi untuk berasa bersyukur kerana masih hidup. Dia juga menemui tujuan hidup dengan mengasaskan bersama sebuah badan bukan keuntungan (NGO), Asana Voices, sebuah organisasi advokasi di Asia Selatan.

    Sejak itu, beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serupa, walaupun bekerja lebih waktu.

    Dia mengaitkan hal itu dengan pandangan positif yang baru ditemuinya.

    “Selepas berlaku kejadian yang mengubah hidupnya, hal itu seakan memaksa saya untuk menjadi optimis,” katanya. “Saya tidak boleh membayangkan hidup seperti cara kehidupan saya dahulu.”

    Optimisme sendiri bukanlah penawar segala-galanya, tetapi banyak kajian selama beberapa dekad telah menunjukkan hubungan antara pandangan positif dan keadaan kesihatan yang baik.

    Pakar berkata satu piawaian untuk mengukur tahap optimisme seseorang adalah Soal Selidik Life Orientation Test-Revised yang mempunyai 10 soalan, diterbitkan pada tahun 1994. (Contoh soalan: Pada skala 1 hingga 5, responden ditanya sejauh mana mereka bersetuju dengan kenyataan yang mengatakan, “Dalam masa yang tidak menentu, saya biasanya mengharapkan yang terbaik”?)

    Secara umumnya, optimisme ditakrifkan sebagai ‘harapan perkara baik akan berlaku atau mempercayai masa depan kerana kita boleh mengawal hasil keputusan yang penting”, kata Hayami Koga, penyelidik kedoktoran di Pusat Kajian Populasi dan Pembangunan Harvard.

    Beliau adalah penulis utama dalam kajian 2022 yang mendapati optimisme dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang dan peluang yang lebih besar untuk hidup melebihi 90 tahun.

    Dalam satu lagi kajian yang diterbitkan pada bulan Mei di JAMA Psychiatry, beliau dan penyelidik lain berkata orang optimis secara umumnya mengekalkan fungsi fizikal yang lebih baik seiring peningkatan usia. Mereka mengkaji 5,930 orang wanita pasca menopaus dalam tempoh enam tahun.

    “Kami tahu bahawa orang yang optimis lebih cenderung untuk menjalani kehidupan dengan cara yang lebih sihat, dengan tabiat yang lebih sihat, makan lebih sihat dan lebih banyak melakukan senaman,” kata Koga.

    Sesetengah orang dilahirkan lebih optimis tetapi ia juga boleh dipelajari, kata Sue Varma, penolong profesor klinikal psikiatri di Universiti New York dan pengarang Practical Optimism: The Art, Science, and Practice of Exceptional Well-Being.

    Latihan optimisme, katanya, boleh meningkatkan kepuasan hidup dan mengurangkan kebimbangan.

    “Walaupun awda tidak dilahirkan dengan kecenderungan semula jadi itu untuk menjangkakan hasil yang baik, namun ada kemahiran yang boleh awda pelajari,” kata Varma.

    Mulakan dengan menyedari bagaimana awda menghadapi ketidakpastian, katanya.

    Adakah awda cenderung untuk bimbang? Menganggap itu yang paling teruk?

    Cuba susun semula pemikiran secara objektif. “Adakah terdapat sinar harapan? Adakah itu masalah yang perlu diselesaikan atau hakikat yang perlu diterima?,” kata Varma sambil menambah bahawa bukunya diterbit hasil kerja Martin Seligman, salah seorang psikologi positif.

    Cuba bayangkan hasil terbaik yang mungkin dan langkah demi langkah untuk mencapainya.

    Varma meminta pelanggannya untuk menerangkan langkah tersebut dengan terperinci sehingga masalah diselesaikan dan menggalakkan mereka untuk meraikan kejayaan mereka.

    “Kemudian awda sudah menjalani hari-hari dan kehidupan awda seolah-olah segala-galanya telah selesai,” katanya.

    “Dan awda cenderung menjadi lebih proaktif, lebih positif, lebih berdaya tahan, lebih ceria dalam menghadapi masalah.”

    Mencari rasa tujuan juga boleh membantu. Menjadi sukarelawan adalah bermanfaat, tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai masa, Varma mencadangkan untuk cuba mengubah peranan awda di tempat kerja agar lebih sesuai dengan minat awda.

    Ia boleh jadi mudah jika seorang yang suka bersosial menganjurkan aktiviti dengan rakan sekerja.

    Mencuba untuk menguasai kemahiran, sama ada sukan, alat muzik, bahasa atau hobi seperti menyulam atau bermain catur boleh membantu mengelakkan awda daripada memikirkan tentang perkara-perkara negatif.

    Meskipun ada pelbagai cara yang dapat dilakukan untuk mengubah cara berfikir seseorang, proses itu tetap tidak mudah.

    Namun, dengan latihan dan usaha yang berterusan, perubahan tersebut dapat dicapai.

    “Ia adalah set alat, ia adalah set pemikiran,” katanya. “Saya perlu mengamalkannya setiap hari dalam fikiran saya.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...