Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amanah berbekalkan keikhlasan, kecekapan dan kejujuran

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar ihsan Hajah Norliah

    Impian untuk terus menaburkan bakti kepada negara dengan melahirkan murid yang berjaya merupakan amanah yang dipegang teguh oleh penerima Anugerah Puteri Maha Chakri, Thailand bagi 2019, Hajah Norliah binti Haji Aspar, guru besar Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49, Kluster 3, kerana baginya tugas serta tanggungjawab sebagai seorang pemimpin sekolah itu merupakan amanah dari Allah SWT.

    Bagi Hajah Norliah dengan berbekalkan keikhlasan, kejujuran dan amanah serta tidak berkira dengan apa jua tugasan, ia dapat membakar semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik kepada perkembangan murid, guru, kakitangan dan sekolah.

    “Sebagai penerima anugerah yang sangat berprestij ini, saya akan terus berkhidmat sebagai seorang pendidik dan pentadbir yang berdedikasi serta bertanggungjawab dalam pelbagai aspek seperti pembimbing mentor dan coach guru-guru serta pentadbir sekolah yang lain selagi diperlukan.”

    Hajah Norliah berkata Anugerah Puteri Maha Chakri amat bermakna baginya kerana kegembiraan itu dapat dikongsi bersama keluarga lebih-lebih lagi kedua-dua ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaannya serta sokongan daripada suami dan anaknya.

    Beliau percaya penerimaan anugerah itu secara langsung dapat mengangkat martabat seorang pendidik di negara ini khususnya dalam kalangan pentadbir sekolah. “Saya akan meneruskan membimbing guru-guru di bawah pentadbiran saya untuk terus melangkah maju ke hadapan dan meningkatkan prestasi pengajaran mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan selaras dengan Wawasan Negara 2035.”

    Puteri Maha Chakri berkenan bergambar ramai bersama penerima-penerima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019.
    Hajah Norliah bersama Anugerah Puteri Maha Chakri, Thailand 2019. – Gambar oleh Sim Y.H.
    Hajah Norliah ketika menerima anugerah daripada Puteri Maha Chakri.

    Hajah Norliah berkata lagi, “Saya percaya kemajuan sesebuah sekolah memerlukan pemimpin yang mempunyai kepimpinan yang berkesan. Justeru, guru besar sebagai seorang pemimpin sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.”

    Beliau percaya dan mengakui bahawa sekolah merupakan kunci utama dalam melahirkan murid yang berjaya dan untuk mencapai kejayaan itu, harus memastikan pengajaran guru dapat disampaikan secara efektif dan berkesan dengan menitikberatkan pengurusan bilik darjah yang kondusif serta hubungan yang positif di antara guru dengan murid.

    Tanggungjawab dan peranan

    Oleh itu, Hajah Norliah berkata sebagai seorang pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab untuk mengingatkan guru mengenai dengan peranan mereka yang sangat penting sebagai sebahagian daripada proses agen perubahan dan penambahbaikan sekolah.

    “Di samping itu jua, pemimpin sekolah juga perlu cekap mengesan sebarang masalah, kekurangan atau kelemahan yang ada di sekolah dan seterusnya membuat tindakan untuk menyelesaikan dan membuat penambahbaikan.”

    Dalam masa yang sama, Hajah Norliah berkata dalam usaha penambahbaikan sekolah secara holistik, ia perlu juga mengambil kira faktor luaran seperti hubungan baik antara sekolah dan komuniti untuk menjadikan sekolah lebih berkesan.

    “Maklum balas daripada ibu bapa dan pihak luar sentiasa dialu-alukan untuk membantu pihak sekolah membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Segala penambahbaikan yang dibuat dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan sekolah iaitu murid, ibu bapa dan penjaga.”

    Hajah Norliah yang mula berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49, Kluster 3 pada 2010, berkata bahawa sekolah berkenaan merupakan sebuah sekolah yang mempunyai Program Model Inklusif dan beliau yang berpengalaman sebagai mentor dan pembimbing guru-guru, memberikan sokongan yang penuh kepada guru-guru pendidikan khas dalam merangka apa jua aktiviti yang bersesuaian selaras dengan perkembangan murid berkeperluan khas.

    “Dari itu, pemantauan berterusan agar dapat memastikan semua murid di Sekolah Rendah Lambak Kanan termasuklah murid-murid yang berkeperluan khas tidak ketinggalan atau tercicir dalam mengikuti pembelajaran mereka. Dan berpeluang untuk mendapat pengalaman belajar seperti murid-murid yang lain.”

    Ketika mengulas mengenai dengan peranannya sebagai seorang pemimpin bagi guru, kakitangan, murid dan sekolahnya, Hajah Norliah berkata perlu mempunyai disiplin yang tinggi yang diterapkan dalam dirinya sebagai contoh kepada guru-guru yang lain, sentiasa muhasabah diri supaya akan sentiasa dapat memperbaiki diri sebagai seorang pentadbir dan sentiasa berfikiran ke hadapan demi untuk memajukan serta meningkatkan kecemerlangan sekolah, guru dan utama sekali, murid-murid yang dibimbing, dibentuk, dididik dan diasuh untuk menjadi pemimpin serta peneraju kemajuan negara di masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda