Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing seperti tanggungjawab kepimpinan kepada orang dipimpinnya.
“Ini seperti suami kepada isterinya, ibu bapa kepada anak-anaknya, guru kepada muridnya, majikan kepada pekerjanya dan yang paling penting ialah kewajipan dan amanah seorang hamba kepada Allah.”
Khatib menjelaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menekankan yang mana semua ini wajib dilaksanakan dan ditunaikan kerana ia adalah amanah dan akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan di akhirat nanti.
Amanah ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seorang itu suatu yang diserahkan untuk disampaikan dan lainnya.
Bersifat amanah itu boleh dilakukan dalam beberapa perkara atau perbuatan serta amalan antaranya amanah kepada Allah dan rasulNya iaitu mentaati perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
Seterusnya amanah terhadap sesama manusia seperi menepati janji, berlaku jujur, berbaik sangka, tidak khianat dan sebagainya. Amanah ialah sifat terpuji dan merupakan salah satu daripada sifat Rasulullah iaitu Shiddiq (benar), Amanah, Tabliqh (menyampaikan) dan Fathonah (bijaksana).
“Amanah, merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan berat untuk dilaksanakan dan ia bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh diambil ringan dan dalam hubungan ini, kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan sesuatu amanah yang diberikan, jangan sampai amanah yang dipertanggungjawabkan itu dikhianati atau disalahgunakan,” tegasnya.
“Orang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang Islam tidak akan sanggup berlaku khianat terhadap agama, bangsa dan negaranya seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam atau menyeleweng akidah, melakukan rasuah, khianat, pecah amanah, penyelewengan, penyalahguna kuasa dan lainnya.
Khatib dalam khutbahnya menekankan, perbuatan tersebut amat berbahaya dan boleh mengancam keselamatan masyarakat dan negara seperti menimbulkan kekacauan, huru-hara, meruntuhkan kestabilan ekonomi, melumpuhkan pembangunan negara dan seterusnya boleh menghancurkan negara.
Ingatlah apabila diberi amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu tugas dan pekerjaan, hendaklah di laksanakan dan memegang amanah tersebut dengan sempurna dan tidak berkhianat.
Setiap orang perlu sentiasa bersiap jujur dan amanah sama ada dalam kehidupan seharian atau dalam pekerjaan sama ada bekerja dengan perkhidmatan awam, pihak swasta atau bekerja sendiri. Menurut khatib lagi, bekerja dengan jujur dan amanah ini ada dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Perkhidmatan Awam kali ke-24.
Pada setiap tahun, negara meraikan Hari Perkhidmatan Awam dengan tujuan warga perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang efisien, bersih, tulus ikhlas, jujur, berkualiti dan produktif.
Dalam perkara ini, tegas khatib, warga perkhidmatan awam perlu mempunyai kekuatan dan semangat untuk mencapai Wawasan 2035 iaitu membuat perubahan daripada cara lama yang boleh menyokong kemajuan kepada cara baharu yang lebih positif dan membangun selaras dengan kemajuan dan kehendak semasa dan akan datang.
Khatib seterusnya menjelaskan, untuk mewujudkan perkhidmatan yang cemerlang hanya akan dicapai melalui transformasi minda dan sikap yang positif dan murni. Sehubungan itu, semoga warga perkhidmatan awam dan semua pekerja terus bersikap jujur, amanah dan ikhlas dalam melaksanakan tugas masing-masing untuk mendapat berkat, rahmat dari Allah.