SAN SALVADOR, 1 JUN – Ribut tropika Amanda mencetuskan banjir kilat, runtuhan tanah dan bekalan elektrik terputus ketika ia melanda El Salvador dan Guatemala semalam, membunuh 14 orang, kata pihak berkuasa, mengingatkan mengenai hujan lebat yang bakal turun.
Presiden El Salvador Nayib Bukele mengisytiharkan keadaan darurat selama 15 hari untuk mengatasi kesan ribut, yang diramalkan oleh beliau telah mengakibatkan kerosakan bernilai AS$200 juta, tetapi ribut semakin lemah tatkala ia bergerak ke Guatemala.
Amanda, ribut pertama dinamakan dalam musim ini di Pasifik, mencetuskan aliran air banjir yang menghumban kenderaan seperti barang mai-nan dan merosakkan kira-kira 200 buah rumah, kata ketua Perkhidmatan Perlindungan Awam William Hernandez.
Semua kematian dicatat di El Salvador, kata Menteri Dalam Negeri Mario Duran, mengingatkan jumlah kematian mungkin meningkat. Satu orang masih hilang, tambah pegawai kanan kerajaan Carolina Recinos.
“Kami sedang mengalami situasi yang tidak pernah berlaku: satu situasi kecemasan peringkat tertinggi di samping satu lagi situasi serius,” kata datuk bandar San Salvador Ernesto Muyshondt, merujuk kepada pandemik koronavirus.
Beliau menambah separuh di antara mereka yang terkorban meninggal dunia di ibu negara, dan 4,200 orang telah mendapatkan perlindungan di pusat yang dikendali oleh kerajaan selepas kehilangan rumah mereka atau dipaksa meninggalkan rumah disebabkan mereka berada di kawasan berisiko tinggi.
Di beberapa kawasan banjir, tentera bekerja bersama kakitangan kecemasan untuk menyelamatkan penduduk.
“Kami kehilangan segala-galanya, kami tidak mempunyai tempat tinggal,” kata Isidro Gomez, penduduk yang terjejas di tenggara San Salvador, selepas sebatang sungai melimpah dan memusnahkan rumahnya.
Di Guatemala, pegawai berkata jalan disekat oleh lima runtuhan tanah dan banjir. – AFP