Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amar Baharin sambung kayuhan ke Makkah dari Iran

    Bimbang umur tidak panjang adalah antara kebimbangan sehingga membuatkan pelakon Amyra Rosli mengalirkan air mata apabila suaminya yang juga aktor Amar Baharin dalam misi berbasikal ke Tanah Suci Makkah.

    Percaya dengan perancangan Allah SWT, Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 34, bagaimanapun ikhlas dan reda melepaskan Amar menyertai misi tersebut.

     “Memang saya reda dan ikhlas melepaskan Amar berkayuh tapi jauh di sudut hati saya ada kebimbangan kalau umur tak panjang di antara kami.

    “Itu membuatkan saya mengalir air mata sebab sebagai manusia kita mampu merancang tapi Allah menentukan.

    “Jika dipanjangkan umur sudah tentu saya mahu berjumpanya lagi dan sebab itu saya selalu pesan jaga makan dan jangan terlalu memaksa diri,” katanya kepada mStar.

    Amyra berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media muzik video Bulanku nyanyian Wanns Ahmad di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada petang kelmarin.

    Dalam pada itu, Amyra memberitahu Amar akan bertolak ke Iran dari Bangkok, Thailand pada malam Khamis bagi menyambung kayuhan ke Tanah Suci Makkah.

    Amyra memberitahu konflik yang sedang berlaku di antara India dan Pakistan membuatkan Amar terpaksa mengambil penerbangan ke Iran.

    Dari Iran, Amar dan pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin akan kembali berbasikal menuju ke Makkah.

     “Mereka terpaksa naik kapal terbang sebab India dan Pakistan tak boleh masuk disebabkan pergolakan yang sedang berlaku. Demi langkah keselamatan, mereka terus ke Iran,” katanya.

    Sementara itu, Amyra mengakui merindui rutin pergi bersarapan menaiki motosikal bersama suaminya setiap pagi.

    Kata Amyra, sejak dua anak mereka sudah bersekolah, mereka menggunakan kesempatan itu menghabiskan masa berdua bagi mengeratkan ikatan suami isteri.

    Bagaimanapun kata pelakon itu, Amar tetap menemaninya bersarapan menerusi panggilan video di telefon sejak menyertai misi tersebut.

     “Sekarang saya kena makan seorang diri, tapi tetap buat panggilan video dengan Amar. Jadi tidaklah terasa sunyi sangat, nak cakap lebih-lebih nanti saya menangis pula,” ujarnya.

    Amar atau Amar Mohd Baharin, 40, dan Muqharabbin memulakan misi berbasikal ke Tanah Suci Makkah sejak 27 April lalu.

    Pasangan duo itu memulakan kayuhan dari Perlis ke Thailand dan dijangka tiba di Madinah pada Julai depan. – Agensi

    Amyra sentiasa mendoakan misi Amar berjaya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda