Pelakon Amar Baharin hampir hilang semangat meneruskan misi berbasikal ke Tanah Suci Mekah yang dirancang sejak tahun lalu.
Bagaimanapun kata Amar, 40, kata-kata isterinya iaitu pelakon Amyra Rosli menjadi pembakar semangat dia meneruskan misi mengayuh sejauh 8,000 kilometer bermula 28 April ini.
“Kata-kata daripada isteri yang menaikkan semula semangat saya untuk mengayuh ke sana. Sudah tentu Amyra risau tetapi saya sudah jelaskan secara terperinci dan Alhamdulillah isteri faham tujuan sebenar saya ke sana,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat lalu.
Amar akan mengayuh bersama rakannya yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan dijangka memulakan kayuhan dari Perlis sebelum merentas ke beberapa buah negara lain seperti Thailand, India, Pakistan dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi pada Julai depan.
Berkongsi lanjut mengenai misi itu, Amar memberitahu pengembaraan itu hanya akan dilakukan tanpa ada pasukan bantuan lain.
Kata Amar, dia dan Muqharabbin ingin merasai sendiri pengalaman kepayahan untuk secebis kemanisan tiba di Tanah Suci menggunakan jalan darat.
“Jika ada jarak terlalu jauh kami akan pasang khemah untuk bermalam di kawasan bersesuaian. Jika ada negara tidak membenarkan kami merentas maka terpaksa menaiki pesawat.
“Kami mahu merasai bagaimana susahnya untuk ke Tanah Suci menggunakan jalan darat yang dilalui oleh pengembara zaman dahulu. Pengembaraan ini pastinya akan ada banyak cerita yang boleh saya kongsikan kepada semua.
“Mungkin saya boleh berkayuh dengan jarak sama jika mengelilingi Malaysia tapi pengalamannya tidak akan sama. Apa pun bagi saya ini adalah jemputan Allah untuk ke Makkah,” jelasnya.
Sementara itu, Amar memberitahu Amyra dan dua anak-anak mereka akan menyertainya mengerjakan umrah selepas dia tiba di sana kelak. – Agensi
