Lebih sedekad bergelar pelakon, Amar Baharin, 36, akur tawaran drama kian berkurangan, malah tidak lagi menjadi pilihan utama penerbit mahupun pengarah.
Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan pada 2014 itu sedar, persaingan semakin sengit dengan kehadiran ramai bintang baharu.
Bagaimanapun, suami kepada pelakon, Amyra Rosli itu tidak sesekali tergugat dengan kehadiran pelakon baharu kerana sentiasa percaya pada rezeki.
“Bukan soal saham menjunam disebabkan sudah berumahtangga, tetapi kita tidak boleh menidakkan peredaran masa. Sekarang, ramai kehadiran bakat baharu yang lebih muda.
“Namun, saya tidak pernah rasa terancam, sebaliknya melihat sebagai persaingan sihat. Alhamdulillah, biarpun kini saya hanya menjadi pilihan ketiga atau keempat untuk memegang watak utama, tetapi setakat ini, rezeki tidak pernah putus.

“Saya hanya berhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menyambut kelahiran cahaya mata kedua, Ayra Aryssa, tahun lalu,” katanya kepada media.
Amar berkaa, apa yang penting untuk terus bertahan dalam industri seni adalah sikap seseorang pelakon.
“Ia akan menentukan sama ada stesen televisyen (TV) mahupun penerbit akan memilih kita atau tidak,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama adapatasi telenovela popular, Mis Tres Hermanas berjudul Hati Yang Dikhianati yang ditayangkan di Astro Prima.
Memegang watak utama sebagai Santiago, Amar berkata, lokasi penggambaran terpaksa ditukar ke Perlis kerana perlu mengejar waktu tayangan yang bermula pada 12 April lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor sejak Januari lalu.
Katanya, dia terpaksa berkorban berjauhan daripada keluarga selama hampir dua minggu, tetapi bersyukur masih boleh bekerja. Malah, kata Amar, isterinya turut sibuk, namun mereka beruntung kerana anak-anak berada di bawah jagaan keluarga mentua ketika keluar bekerja.
“Apabila sibuk bekerja, saya tidak pernah menghalang Amyra untuk meneruskan kerja juga. Sebenarnya, Amyra pun sibuk dengan kerjayanya. Bagi saya, selagi masih diperlukan, biarlah isteri terus berkerja. “Selalunya, kami hanya sempat berjumpa pada waktu malam kerana bekerja.
“Kami jarang mempunyai masa bersama apabila bekerja kerana penggambaran selesai malam. Kami berjumpa ketika hendak tidur dan sewaktu bangun pagi.” – Agensi