KOTA BHARU, 30 Dis – Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bagi perairan Pantai Timur bermula hari ini sehingga 3 Januari depan.
Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Zakaria ketika dihubungi berkata, angin kencang Timur Laut yang berkelajuan antara 40 hingga 50kmpsj dan ombak sehingga 3.5 meter itu merbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Beliau berkata disebabkan keadaan itu, orang awam dan nelayan dinasihatkan agar peka dengan amaran yang dikeluarkan dan sebolehnya mengelakkan sebarang aktiviti pantai.
Nelayan khususnya yang menggunakan bot kecil diharap lebih berhati-hati keluar menangkap ikan ketika amaran masih berkuat kuasa, katanya.
Pada jam 11:30 malam semalam, jabatan itu telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 3 Januari ini. Amaran kategori pertama itu turut melibatkan perairan Tenggara Samui, Selatan Condore, Selatan Palawan, Pulau Layang-Layang, Tioman, Selatan Reef North, Reef South, Labuan dan Bungguran. – Bernama