KUALA LUMPUR, 22 JAN – Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di enam negeri di seluruh negara.
Negeri-negeri tersebut termasuk Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Di Sarawak, kawasan berisiko terjejas meliputi Bahagian Kuching (Bandar Kuching serta kawasan sekitarnya) dan Bahagian Samarahan (Kg Mang, Kg Tanjung Bundong, Kg Empila, Kg Tanjung Parang, Kg Bangka Semong, Kg Nuip serta kawasan sekitarnya).
Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan pada jam 4 petang tadi itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met-Malaysia), sistem South-eastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan. – Bernama