Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amaran gempa bumi di Jepun berakhir

    TOKYO, 15 OGOS – Amaran kerajaan Jepun selama seminggu mengenai kemungkinan gempa bumi di sepanjang pantai Pasifik secara rasmi berakhir pada 5 petang waktu tempatan hari ini selepas tiada aktiviti seismik utama dikesan di sekitar Palung Nankai, lapor agensi berita Kyodo.

    Nasihat gempa bumi Palung Nankai yang pertama sejak sistem itu dilaksanakan pada 2017 telah mendorong kerajaan pusat dan komuniti tempatan untuk memperhebatkan persiapan bencana sejak minggu lepas.

    Ia juga memberi kesan negatif terhadap beberapa perniagaan berkaitan pelancongan semasa musim cuti musim panas.

    Jepun, sebuah negara yang terdedah kepada gempa bumi telah lama bimbang akan gempa berukuran lapan hingga sembilan magnitud di sekitar Palung Nankai dalam tempoh 30 tahun akan datang, dengan ramalan bahawa kawasan yang luas mungkin digegarkan dan kawasan pantai yang luas dilanda tsunami.

    Nasihat gempa bumi itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda barat daya Jepun pada 8 Ogos.

    Nasihat itu bertujuan untuk memaklumkan orang ramai mengenai risiko gempa bumi berskala besar di sekitar Palung Nankai selama seminggu.

    Kerajaan menggesa orang ramai agar kekal berwaspada dan bersiap sedia kerana kemungkinan berlakunya gempa bumi.

    Kyodo melaporkan bahawa Agensi Meteorologi Jepun menyatakan setakat kelmarin, tiada sebarang aktiviti seismik dikesan yang menunjukkan sebarang perubahan membimbangkan di kawasan yang dianggap sebagai tempat asal gempa bumi besar.

    Sejarah menunjukkan bahawa gempa bumi besar di sekitar Palung Nankai berlaku setiap 100 hingga 150 tahun. Kira-kira 80 tahun telah berlalu sejak kejadian terbaharu. – Bernama

    Sebuah rumah dilihat runtuh di bandar Osaki, wilayah Kagoshima, selatan Jepun pada 9 Ogos, berikutan gempa bumi kuat sehari sebelumnya. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda