Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amaran Giroud kepada Sarri

    LONDON, 18 April – Penyerang Chelsea, Olivier Giroud memberi amaran kepada Maurizio Sarri bahawa dia mesti diberikan peranan yang lebih penting musim depan sekiranya bos Chelsea itu mahu dia kekal di Stamford Bridge.

    Giroud agak kecewa dengan peranan kecilnya bersama Chelsea musim ini dan pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu mempertimbangkan masa depannya selepas Gonzalo Higuain tiba melalui pinjaman dan mengambil posisinya.

    Chelsea mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian pemain berusia 32 tahun itu untuk setahun lagi, tetapi bekas bintang Arsenal yang kecewa itu berharap untuk bertemu bos-bos kelab sebelum berakhirnya kempen ini.

    Giroud sudah menjadi pemain kedua di belakang Alvaro Morata, yang kini dipinjamkan ke Atletico Madrid, sebelum penandatanganan Higuain dan kini dia mahukan peranan yang lebih utama di masa hadapan.

    “Percayalah bahawa saya sangat kecewa jika tidak berada di atas padang, tetapi saya tidak mahu menunjukkannya,” kata Giroud menjelang pertemuan suku akhir kedua Liga Europa menentang Slavia Prague.

    “Anda perlu memendamkan kekecewaan itu sendiri. Dan mengubahnya menjadi tenaga positif fi atas padang.

    “Tetapi percayalah bahawa saya tidak gembira dengan peranan yang sedikit ini. Sebab itu tahun depan saya mahu memainkan peranan yang lebih penting dalam pasukan.”

    Ditanya bila dia akan bercakap dengan kelab mengenai musim depan, Giroud berkata, “Saya tidak tahu, tetapi sebelum musim ini berakhir.

    “Saya hanya mahu menikmatinya (di Chelsea) kerana saya berusia 32 tahun dan telah memenangi Piala Dunia. Tetapi saya mahu bersara dengan rasa puas hati.” – AFP

    Olivier Giroud menjawab soalan pemberita ketika menghadiri sidang media di Stamford Bridge. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda