SYDNEY, 20 DIS – Pihak berkuasa negeri New South Wales (NSW), Australia telah mengeluarkan amaran kesihatan berhubung kes demam campak di Sydney, lapor Xinhua.
NSW Health mengeluarkan amaran tersebut hari ini, menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap simptom dan tanda-tanda demam campak selepas menerima makluman mengenai kes yang disahkan melibatkan seorang individu yang telah mengunjungi beberapa lokasi di Sydney ketika dalam tempoh jangkitan.
Kes itu melibatkan seorang pelancong dari Eropah yang tiba di Sydney pada 11 Disember dari Vietnam, menurut amaran itu.
Pelancong itu telah berada di beberapa lokasi awam, termasuk lapangan terbang, pasar raya, panggung wayang dan pengangkutan awam pada 11 dan 12 Disember sebelum melawat sebuah pusat perubatan di kawasan barat Sydney pada 15 dan 16 Disember.
Pengarah Klinikal Kesihatan Awam, Daerah Kesihatan Tempatan Sydney, Leena Gupta berkata individu yang mungkin terdedah kepada kes itu perlu memantau tanda-tanda demam campak.
“Simptom yang perlu diperhatikan termasuk demam, sakit mata dan batuk, biasanya diikuti tiga atau empat hari kemudian dengan ruam merah berbintik yang merebak dari kepala dan muka ke seluruh badan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata simptom boleh mengambil masa sehingga 18 hari untuk muncul, jadi orang ramai perlu terus memantau tanda-tanda sehingga awal Januari. – Bernama