Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL – Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran ribut hujan peringkat tertinggi untuk kawasan terjejas hari ini.

    Hujan lebat telah melanda Guangdong sejak beberapa hari kebelakangan ini, menaikkan paras sungai dan menimbulkan kebimbangan banjir teruk yang hanya dilihat ‘sekali dalam satu abad,’ menurut media.

    Hari ini, bandar besar Shenzhen adalah antara kawasan yang disenaraikan sebagai mengalami ‘hujan lebat kepada hujan amat lebat’, kata balai cerap meteorologi bandar itu, sambil menambah risiko banjir kilat adalah ‘sangat tinggi’.

    Gambar dari Qingyuan bandar di utara Guangdong yang merupakan sebahagian daripada tanah pamah Delta Sungai Pearl menunjukkan sebuah bangunan hampir tenggelam sepenuhnya di taman yang ditenggelami air di sebelah sungai.

    Agensi berita Xinhua berkata 110,000 penduduk di seluruh Guangdong telah dipindahkan sejak hujan lebat bermula pada hujung minggu lalu.

    Empat orang setakat ini meninggal dunia dan 10 hilang, lapor media kerajaan. “Sila ambil langkah berjaga-jaga dengan segera dan jauhi kawasan berbahaya seperti kawasan rendah yang terdedah kepada banjir,” kata pihak berkuasa di Shenzhen semasa mengeluarkan amaran ‘merah’ hari ini.

    Hujan lebat dijangka berterusan di Shenzhen untuk dua hingga tiga jam akan datang, menurut pihak berkuasa. – AFP

    Bangunan dan jalan raya yang dinaiki air selepas hujan lebat di Qingyuan, Guangdong, China pada 22 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...