SYDNEY, 19 MEI – Amaran tsunami di Pasifik telah ditarik balik selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda hari ini, menyebabkan ramai penduduk pulau melarikan diri dari kawasan pantai.
Gempa bumi melanda pada jam 0257 GMT, mendorong orang ramai di beberapa pulau Pasifik Selatan bergegas ke tempat yang lebih tinggi ketika siren memberi amaran tentang kemungkinan ombak ganas itu.
“Berdasarkan semua data yang ada, ancaman tsunami daripada gempa bumi ini kini telah berlalu,” kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik dalam satu kenyataan.
Ia meramalkan ‘turun naik kecil paras laut’ dalam beberapa jam akan datang.
Badan yang berpangkalan di Honolulu itu sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pantai dalam jarak 1,000 kilometer dari pusat gempa, yang terletak di timur wilayah Pasifik Perancis, New Caledonia.
Vanuatu telah dikenal pasti sebagai pulau yang diancam dengan ombak terbesar akibat gempa itu.
Benie Simo, pengendali pelancongan tempatan di Pulau Misteri di Vanuatu, berkata dia menerima amaran kerajaan melalui mesej pesanan ringkas untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi.
“Orang ramai hanya melakukan apa yang mereka diberitahu. Jadi mereka hanya naik ke tempat yang lebih tinggi sehingga mereka diberitahu bahawa semuanya selamat untuk turun semula,” katanya.
Pihak berkuasa Vanuatu menyeru penduduk untuk mengosongkan kawasan pantai yang lebih rendah daripada 12 meter dari paras laut dan dalam lingkungan 300 meter dari garis pantai. – AFP