Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amarjit dipilih Presiden ACC

    KUALA LUMPUR, 6 FEB – Sukan berbasikal negara menerima perkhabaran gembira apabila Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh memenangi jawatan Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dalam pemilihan di Bangkok, hari ini.

    Amarjit menewaskan Presiden Majlis Olimpik Indonesia (MOI), Raja Sapta Oktohari dengan keputusan 24-17 undian, sekali gus melakar sejarah unik apabila mengulangi pencapaian bapanya Tan Sri Darshan Singh, yang pernah menyandang jawatan itu dari 1996 hingga 2005.

    Beliau berkata menjadi satu penghormatan terbesar baginya apabila mendapat kepercayaan perwakilan untuk mengetuai badan induk berbasikal Asia itu.

    “Saya sangat terharu dengan amanah yang diberikan oleh semua perwakilan yang memilih saya sebagai Presiden ACC yang baharu. Ia satu penghormatan yang besar. Kemenangan ini sangat bermakna kepada Malaysia kerana Ibu Pejabat ACC akan kembali semula ke Malaysia.

    “Saya tidak akan menghampakan semua negara di Asia dan akan bekerja untuk memastikan Agenda OneAsia yang saya bawakan menjadi satu realiti,” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu dalam kenyataan PKBM, hari ini.

    Amarjit menjelaskan beliau mempunyai agenda yang besar untuk ACC kerana dunia berbasikal pada ketika ini semakin mencabar, apatah lagi benua Asia merupakan antara ahli gabungan terbesar UCI serta mempunyai potensi yang besar.

    “Presiden UCI, David Lappartient, yang juga Ahli IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa), sejurus selepas pemilihan, telah berjumpa dengan saya dan memberikan jaminan sokongan penuh UCI kepada saya dan ACC untuk meneruskan pembangunan sukan berbasikal di benua Asia serta merealisasikan Agenda OneAsia saya,” katanya. – Bernama

    Datuk Amarjit Singh telah memenangi jawatan Presiden ACC dalam pemilihan di Bangkok, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda