Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Amat bertuah saksikan kemajuan pendigitalan negara’

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41), tidak dapat dinafikan bahawa negara telah mencatat pelbagai pencapaian dan kemajuan penting sepanjang 41 tahun kemerdekaannya.

    Media Permata berkesempatan menemui pensyarah di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Muhammad Najib bin Noorashid untuk mengongsikan pencapaian utama terutamanya dalam aspek infrastruktur teknologi digital dalam tiga domain, iaitu pentadbiran, ekonomi dan pendidikan.

    “Sebagai rakyat Brunei, saya berasa amat bertuah kerana dapat menyaksikan perkembangan pendigitalan dari dahulu hingga ke hari ini. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak pernah mengabaikan kepentingan pelaburan dalam infrastruktur digital serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi Negara Pintar setanding dengan negara-negara lain,” ujar Dr Muhammad Najib.

    Menurutnya, usaha dalam merealisasikan impian ini dapat dilihat melalui penubuhan e-Kerajaan, e-Darussalam, BruHIMS dan Talian Darussalam 123, selain pelbagai inisiatif memperbaharui sistem pentadbiran di kementerian, pejabat kerajaan dan perkhidmatan awam dari semasa ke semasa.

    Selain itu, strategi keselamatan negara juga tidak diabaikan bagi memastikan pengguna sentiasa dilindungi melalui usaha berterusan dalam menggubal dan meningkatkan kesedaran orang awam, misalnya, Perintah Keselamatan Siber dan Perintah Perlindungan Data Peribadi melalui agensi seperti Cyber Security Brunei, AITI serta syarikat telekomunikasi tempatan.

    Dr Muhammad Najib semasa ditemu bual media. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Dengan adanya infrastruktur digital ini, sektor ekonomi turut berkembang pesat. Sebagai contoh, kita dapat melihat pertumbuhan perbankan dalam talian, penggunaan e-dompet serta transaksi tanpa tunai yang semakin meluas. Sistem pembayaran digital yang diperkenalkan oleh pelbagai pihak, sama ada kerajaan mahupun swasta, telah memudahkan urusan kewangan dan logistik pengguna di seluruh negara,” tambah beliau.

    Selain itu, beliau juga berkata sambutan terhadap inisiatif kerajaan seperti e-Dagang Brunei dan e-KadaiBrunei, yang menawarkan platform jual beli digital yang selamat adalah amat menggalakkan. Inisiatif itu memberi inspirasi kepada pertumbuhan perniagaan dalam talian dan perkhidmatan penghantaran seperti GoMamam, Domo dan KadaiRuncit, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada orang awam.

    “Usaha ini turut disokong oleh kerajaan melalui agensi seperti Darussalam Enterprise, yang membantu penglibatan dan perkembangan usahawan digital dengan menyediakan sistem sokongan, latihan serta inisiatif lain. Institusi pendidikan seperti UBD juga memainkan peranan dengan menawarkan program keusahawanan bagi generasi muda masa kini.

    “Aspek penting seperti pendidikan juga mengalami transformasi digital secara berterusan.

    Dalam hal ini, pihak Kementerian Pendidikan dan institusi pendidikan di seluruh negara terus memastikan integrasi alat serta platform digital seperti Google Classroom, Microsoft Teams, Zoom, dan sistem pengurusan pembelajaran diterapkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

    “Dalam masa yang sama, latihan persiapan dan kemahiran pengaturcaraan digital turut diberikan kepada guru, pemudah cara dan ahli akademik agar mereka bersedia menghadapi revolusi teknologi,” ujar Dr Muhammad Najib.

    “Kita juga dapat melihat pelbagai pihak bekerjasama dalam memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dikawal dengan garis pan-duan yang diterbitkan bagi setiap institusi. Usaha ini adalah antara langkah penting dalam memastikan generasi baharu di Brunei peka terhadap kepentingan dan penggunaan teknologi digital serta menjadi generasi yang berwawasan dan berpendidikan,” tambah beliau sebelum mengakhiri temu bual.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda