AMATRICE, Itali – Kesan runtuhan, kehilangan orang yang tersayang dan kesunyian masih menyelubungi di sini selepas berlakunya gempa bumi besar melanda bahagian tengah Itali itu setahun yang lalu.
Pernah menjadi sebuah komuniti yang meriah pada kira-kira 2,600 orang penduduk, Amatrice di wilayah Rieti masih menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian. Menara sivik abad ke-13 masih kekal berdiri utuh dibawah runtuhan-runtuhan, menunjukkan waktu yang tepat semasa gempa bumi 6.0 magnitud melanda kawasan itu pada 24 Ogos tahun lepas. Waktunya adalah pada pukul 3:36 pagi waktu tempatan (0136 GMT) dan semua orang masih lena dibuai mimpi. Pekan itu padat dengan pelancong ketika itu oleh kerana adanya perayaan musim panas.
Daripada empat kejadian seismik kuat itu berlaku, ianya telah menggegarkan kawasan pusat Lazio, Marche, Umbria, dan Abruzzo antara bulan Ogos 2016 dan Januari 2017. Manakala salah satu daripadanya adalah kejadian di Amatrice, yang merupakan paling dahsyat.
Daripada 300 mangsa, 239 orang maut di Amatrice, 10 orang di kawasan perkampungan berdekatan, Accumoli, dan 51 lainnya yang terbunuh adalah di kawasan sekitarnya. Namun, walaupun dilanda tragedi itu, masyarakat di sana masih bersatu.
Baru-baru ini, Amatrice telah memperingati ulang tahun pertamanya terhadap tragedi yang meragut banyak nyawa itu.
Memakai baju kemeja-T dengan memaparkan gambar-gambar orang tersayang mereka, Cristiano Ascani tidak dapat menahan kesedihannya. Dia tidak dapat bercakap mengenai kejadian itu dan membiarkan abangnya, Maurizio, untuk menceritakan kisahnya itu.


“Kami kehilangan salah seorang abang kami, isterinya, dan anak saudara lelakinya yang berusia 29 tahun,” katanya kepada Xinhua selepas majlis itu. Namun, melihat seluruh komuniti bersatu semula untuk ulang tahun itu telah membantunya untuk mendapatkan semula kekuatannya.
“Saya tidak meninggalkan tempat ini sejak Ogos tahun lalu. Saya mengharungi kejadian gempa bumi, musim sejuk dan bersalji. Saya pada mulanya tinggal di sebuah khemah, dan sekarang saya tidur di sebuah treler,” jelas Maurizio.
“Saya tidak mahu mengadu mengenai perkara ini, selepas apa yang telah kita lalui,” kata Maurizio.
Dia berkata tanda-tanda perpaduan semakin bersinar di seluruh Itali ini dan juga dari dunia sejagat. Ia telah banyak membantu rakyat Amatrice sejak dari 12 bulan yang lalu.
Banyak bandar dan per-kampungan di tengah Itali – seperti Norcia di rantau Umbria – telah dilanda teruk oleh siri gempa bumi dan melihat banyak warisan budaya zaman pertengahan mereka musnah.
Perdana Menteri Itali, Paolo Gentiloni, dan pegawai-pegawai tempatan berada di majlis itu untuk memperlihatkan bahawa pelaburan negara terhadap pusat bandar itu tidak pudar, walaupun tertangguh dan dipenuhi dengan peralatan pembinaan, ia tidak menghalang bagi proses pembinaan semula itu.
Pada awal bulan lalu, Gentiloni menyeru kepada “semua peringkat pentadbiran – dari kerajaan pusat sehinggalah pihak berkuasa serantau dan tempatan – untuk melakukan yang terbaik dalam mempercepatkan prosedur pembinaan semula di kawasan-kawasan yang dilanda gempa bumi.
Perdana Menteri itu berkata: “Kami telah menyediakan satu sistem yang luar biasa yang terdiri daripada sumber-sumber awam dan juga peralatan awam, namun tidak semuanya berjalan dengan apa yang dirancang.”
Selain daripada gempa bumi pertama di Amatrice, terdapat dua gempa utama di kawasan yang sama pada 26 dan 30 Oktober 2016, memusnahkan beribu-ribu bangunan dan sebahagian besar warisan sejarah, dan menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Manakala kejadian terbaru berlaku pada 18 Januari tahun ini dengan empat temblor – kese-muanya diatas lima magnitude – melanda dalam masa empat jam.
Secara keseluruhannya, 140 kawasan perbandaran telah dilanda kejadian itu, lebih daripada 32,000 orang memerlukan bantuan, dan 220 buah sekolah dan 13,000 orang pelajar telah terjejas, menurut data rasmi.
Kos pembaikan negeri itu dianggarkan sekitar 23 bilion euro (AS$27 bilion), menurut anggaran Agensi Perlindungan Awam Kebangsaan pada bulan Februari lalu. Ketika Amatrice hampir musnah, matlamat utama di sini adalah untuk membaik pulih runtuhan-runtuhan yang ada secepat yang mungkin, menyelamatkan beberapa bangunan yang masih berdiri, dan mula membina sebuah bandar baru.
Setakat ini, ia tidak berlaku. Runtuhan dari infrastruktur awam telah dialihkan – kira-kira 92,400 tan setakat ini – dan jalan-jalan utama telah dibersihkan, tetapi semua serpihan dari rumah persendirian masih kekal berada di sana.
Tawaran awam terbesar bagi pembersihan runtuhan itu belum lagi diberikan oleh kerajaan daerah. Kelambatan ini menjadi sumber utama aduan bagi orang-orang di sini yang ingin memulakan semula kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun, kebanyakannya telah memuji pentadbiran tempatan dan Datuk Bandar atas usaha mereka dalam memberi perhatian penuh mengenai keadaan kecemasan ini, dan menjadikan sesuatu perkara itu dapat dilaksanakan. Kira-kira 500 buah daripada 700 buah rumah pasang siap yang diperlukan telah disediakan kepada mangsa yang terpaksa ditempatkan, kata kerajaan daerah
Rumah-rumah sementara itu adalah kecil, namun memadai: setiap taman kecil dipenuhi dengan bunga, sementara jemuran pakaian juga disediakan. Warga cuba mengadaptasi ruang dan rutin dalam negeri itu.
Menurut Datuk Bandar Amatrice, Sergio Pirozzi, kehendak penduduk tidak diendahkan dan kegigihannya merupakan bukti utama bahawa masyarakat ini masih tetap percaya pada masa depannya.
“Ketika saya bercakap di majlis pemakaman (korban gempa) tahun lepas, saya berkata kami mempunyai dua pilihan di hadapan kami: yang paling mudah adalah berputus asa dan beralih pergi, dan yang paling sukar adalah untuk tinggal dan berjuang,” kata Pirozzi kepada Xinhua.
“Setahun selepas itu, saya rasa saya perlu mengucapkan tahniah kepada komuniti saya: mereka masih menetap di sini, walaupun menghadapi empat gempa bumi, dan kejadian salji tebal yang didaftarkan sejak tahun 1956,” katanya. – Xinhua