Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amazon labur tambahan AS$4 bilion dalam Anthropic

    SAN FRANCISCO, 24 NOV – Amazon akan melabur tambahan AS$4 bilion dalam syarikat pemula kecerdasan buatan (AI), Anthropic, ketika syarikat teknologi utama berlumba-lumba untuk membiayai AI generatif.

    Pelaburan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan Amazon dalam Anthropic, yang bermula tahun lalu, kepada AS$8 bilion.

    Anthropic menyatakan bahawa syarikat gergasi teknologi yang berpangkalan di Seattle itu akan kekal sebagai pelabur minoriti dalam syarikat pemula yang diasaskan oleh bekas pemimpin OpenAI yang berkait dengan Microsoft.

    Di bawah perjanjian tersebut, Amazon menyatakan bahawa Anthropic, yang berpangkalan di San Francisco, kini akan menamakan unit pengkomputeran awan Amazon, Amazon Web Services (AWS), sebagai ‘rakan latihan utama’ mereka.

    Anthropic juga akan menggunakan dua cip AWS untuk melatih dan menggerakkan model asas masa depannya, iaitu sistem maju yang menjadi asas kepada perkhidmatan AI tujuan umum seperti ChatGPT dan chatbot Bard Google.

    “Kami kagum dengan kepantasan inovasi Anthropic dan komitmen mereka terhadap pembangunan bertanggungjawab AI generatif, dan kami berharap dapat memperkukuh kerjasama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AWS, Matt Garman, dalam satu kenyataan yang disertakan dalam pengumuman Amazon.

    Hubungan antara syarikat teknologi besar dan syarikat pemula AI telah menarik perhatian pihak pengawal selia di AS dan luar negara.

    Namun, Amazon menerima berita baik pada September lalu apabila badan pengawas persaingan Britain menyatakan bahawa pendapatan Anthropic dan gabungan bahagian pasaran mereka dengan Amazon di Britain tidak cukup besar untuk memerlukan penyiasatan mendalam di bawah peraturan penggabungan negara itu. – AP

    Kelihatan laman web dan aplikasi mudah alih Anthropic ditunjukkan, di New York, pada 5 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda