Tuesday, April 29, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amazon lancar satelit Internet pertama

    CAPE CANAVERAL, 29 APRIL – Amazon telah melancarkan sekumpulan satelit Internet Project Kuiper yang pertama kelmarin, menandakan bermulanya usaha menyaingi Starlink milik Elon Musk.

    Misi yang dipanggil Kuiper Atlas 1, berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida pada jam 7 malam waktu tempatan, menaiki roket Atlas V United Launch Alliance (ULA) yang akan membawa 27 unit satelit ke orbit.

    Percubaan sebelum ini telah dibatalkan pada awal bulan yang lalu kerana cuaca buruk.

    Project Kuiper, anak syarikat runcit gergasi dalam talian yang diasaskan oleh Jeff Bezos, sedang mengejar Starlink, rangkaian satelit Internet SpaceX yang luas yang telah membentuk semula sektor berkenaan dan memberi pengaruh geopolitik yang besar kepada Musk.

    Inisiatif bernilai AS$10 bilion tersebut merancang untuk menggunakan 3,200 unit satelit ke orbit Bumi yang rendah iaitu kawasan angkasa lepas sehingga 1,900 kilometer di atas planet, dengan harapan untuk beroperasi pada akhir tahun ini.

    Harga perkhidmatan belum lagi didedahkan, tetapi Amazon telah berjanji ia akan sejajar dengan reputasinya sebagai peruncit kos rendah.

    “Atlas V sedang dalam perjalanan ke orbit untuk membawa 27 satelit Kuiper dan benar-benar memulakan era baharu dalam sambungan Internet,” kata Caleb Weiss dari ULA.

    Dengan pelancaran kelmarin, Amazon secara rasmi memasuki bidang yang sengit dan berkembang pesat menyaksikan persaingan bukan sahaja Starlink tetapi banyak lagi syarikat yang baru muncul dalam perkhidmatan satelit Internet.

    SpaceX melancarkan kumpulan pertama satelit Starlink pada 2019 dan kini mempunyai lebih daripada 6,750 unit operasi, memberi perkhidmatan kepada lebih lima juta pelanggan di seluruh dunia menjadi kuasa dominan sektor berkenaan setakat ini.

    Amazon merancang untuk mempercepatkan pelancaran dalam beberapa bulan dan tahun akan datang, dengan lebih daripada 80 penerbangan ditempah melalui United Launch Alliance, Arianespace Perancis, Blue Origin Bezos sendiri, dan juga SpaceX Musk.

    Kawasan orbit yang semakin sesak akibat lambakan satelit juga mencetuskan kebimbangan tentang potensi perlanggaran dan gangguan kepada pemerhatian astronomi. – AFP

    Roket ULA Atlas V yang membawa Amazon Project Kuiper sedang berlepas membawa satelit pertama dari Kompleks Pelancaran Angkasa 41 di Cape Canaveral, Florida kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda