Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amazon perkenal troli membeli-belah pintar

    NEW YORK, 14 JULAI – Amazon mempunyai penyelesaian untuk barisan panjang di pasar raya: sebuah troli membeli-belah pintar.

    Troli itu, yang dilancarkan oleh Amazon hari ini, menggunakan kamera, sensor dan alat timbang untuk mengesan secara automatik apa yang dimasukkan oleh pembeli-belah dalam troli. Ia menyimpan pengiraan dan seterusnya mengenakan bayaran dalam akaun. Amazon pelanggan apabila mereka meninggalkan kedai. Juruwang tidak diperlukan.

    Ia merupakan usaha terbaharu oleh Amazon untuk merombak industri pasar raya dan menawarkan penyelesaian kepada barisan panjang di kedai. Syarikat membeli-belah dalam talian itu membuka pasar raya tanpa juruwang di Seattle yang menggunakan kamera dan sensor di siling untuk menjejaki apa yang diambil oleh pembeli dan mengenakan bayaran apabila mereka keluar dari kedai.

    Amazon.com Inc juga mempunyai kira-kira 25 kedai tanpa jurukira dengan teknologi yang sama.

    Troli itu, dipanggil Amazon Dash Cart, akan digunakan di pasar raya baharu yang akan dibuka oleh Amazon di Los Angeles pada akhir tahun ini. Kedai itu mempunyai juruwang tetapi Amazon berkata ia mahu memberikan pelanggan satu cara untuk mengelak barisan panjang. Pada masa depan, ia boleh digunakan di rangkaian kedai Whole Foods atau kedai lain, jika Amazon menjual teknologi itu, tetapi belum ada rancangan tersebut buat masa sekarang.

    Beberapa firma baharu telah mengeluarkan troli membeli-belah pintar yang sama yang sedang diuji di kedai tetapi kebanyakan mereka perlu mengimbas barang runcit sebelum memasukkannya dalam troli.

    Troli Amazon tidak memerlukan imbasan. Satu skrin berdekatan pemegang menyenaraikan apa yang dikenakan bayaran, dan troli boleh mengesan apabila sesuatu barangan dikeluarkan dan harga tidak akan dimasukkan dalam bil. – AP

    Gambar yang dikeluarkan oleh Amazon menunjukkan troli membeli-belah pintar di Los Angeles. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda