SHANGHAI, 25 JULAI – Sebuah syarikat teknologi besar di Amerika Syarikat (AS), Amazon telah menutup makmal penyelidikan kecerdasan buatan (AI) mereka di Shanghai, menurut sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu kepada AFP.
Penutupan makmal yang merupakan sebahagian daripada Amazon Web Services (AWS) berlaku ketika teknologi AI berada di barisan hadapan dalam persaingan teknologi antara China dan AS.
Dalam satu tangkapan layar dari sebuah hantaran WeChat yang tersebar luas di media sosial China minggu ini, seorang saintis di makmal tersebut, Wang Minjie menyatakan penutupan makmal tersebut adalah ‘disebabkan penyelarasan strategik antara China dan AS.’
AWS sebelum ini telah mengumumkan pengurangan pekerjaan di seluruh operasinya minggu lalu, dengan beberapa laporan menyatakan jumlah yang terlibat melibatkan ratusan pekerja.
Amazon enggan mengesahkan secara langsung mengenai penutupan makmal di Shanghai ketika dihubungi oleh AFP.
“Kami telah mengambil keputusan perniagaan yang sukar untuk menghapuskan beberapa jawatan dalam pasukan-pasukan tertentu di AWS,” kata jurucakap Brad Glasser dalam kenyataan yang sama seperti yang dikeluarkan berhubung pemberhentian pekerja lebih luas sebelum ini.
“Keputusan itu perlu diambil ketika kami terus melabur, mengambil pekerja dan mengoptimumkan sumber bagi menyampaikan inovasi kepada pelanggan kami.”
Manakala, sebuah laman web AWS China rasmi untuk makmal tersebut yang pada awalnya masih boleh diakses pada Rabu lalu, kini telah disekat pada hari ini.
Menurut arkib halaman daripada laman tersebut, makmal itu telah ditubuhkan pada musim luruh tahun 2018, dengan salah satu objektifnya adalah untuk ‘menggalakkan kerjasama aktif dengan komuniti penyelidikan’.
Beberapa syarikat teknologi AS lain seperti Microsoft dan IBM juga baru-baru ini telah mengecilkan bahagian penyelidikan mereka di China, memandangkan persaingan teknologi antara Washington dan Beijing masih berlarutan tanpa tanda akan reda. – AFP
