DAHME, JERMAN — Axel Kramer, seorang jurupandu alam semula jadi berusia 66 tahun, tahu dengan tepat di mana untuk mencari ambar.
Dia berjalan di sepanjang laluan pejalan kaki di kampung Dahme di pantai pesisir Baltik Jerman, memeriksa arah angin dan ombak, melihat pelbagai jenis kerang dan alga yang terdampar, dan menunjuk kepada satu bonjolan kecil di pantai.
Dengan penuh teruja, kira-kira 12 orang yang mengikuti setiap gerak-gerinya, melompat turun ke garis air, menarik rumpai laut dan rumpai kelpa, dan selepas beberapa saat, seorang daripada mereka dengan bangga mengangkat seketul kecil ambar berwarna madu yang berkilauan.
“Sukar dipercayai. Saya berumur 57 tahun dan membesar di Laut Baltik, tetapi saya tidak pernah menemuinya sebelum ini,” kata Frank Philipp. “Saya sangat teruja. Sekarang saya mula menggali lebih banyak dan saya jadi ketagih.”
Orang di sepanjang Laut Baltik telah mengumpul ambar selama berabad-abad.




Kramer telah mengumpul ambar sejak berumur enam tahun. Pada suatu ketika, dia menyedari bahawa dia mempunyai bakat atau mungkin disebabkan pengalaman selama puluhan tahun dalam mencari batu berharga itu dan mula menawarkan lawatan mencari ambar kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Orang yang tinggal di sepanjang Laut Baltik dari Denmark dan Jerman ke Poland, negara-negara Baltik, dan dari utara hingga ke Sweden telah mengumpul ambar selama beribu-ribu tahun. Mereka membuat perhiasan indah daripadanya, menggunakannya sebagai pertukaran dan meletakkannya di kubur.
Hingga kini, kedai-kedai ambar memenuhi bandar-bandar pantai Baltik dan ramai pelancong membawa pulang rantai leher, subang dan cincin sebagai cenderahati.
‘EMAS LAUTAN’ BUKAN BATU PERMATA
Bertentangan dengan apa yang dipercayai ramai, ambar, yang juga digelar “emas lautan,” bukanlah batu permata atau perhiasan, tetapi resin yang terfosil.
Walaupun sesetengah jenis ambar berusia hingga 400 juta tahun, ambar Baltik hanya berusia sekitar 45 juta tahun. Ia berasal dari hutan di Finland dan Sweden dan dibawa ke pantai Baltik oleh glasier semasa Zaman Ais. Disebabkan resin bersifat melekit, ia kadangkala boleh ditemui berupa serangga atau tumbuhan di dalam ambar, ia melekat ketika resin jatuh dari pokok.
“Dulu terdapat 120 gred komersial ambar, semuanya berbeza, dari hampir hitam hingga hampir putih,” kata Vollrath Wiese, seorang ahli biologi dan pakar ambar. “Bentuk putih tulang dengan banyak gelembung di dalamnya dan ambar yang hampir jernih berwarna madu yang cantik.
“Sama ada ambar itu asli atau tidak sebenarnya bergantung pada bilangan gelembung mikroskopik (udara) yang terkandung di dalamnya,” kata Wiese, sambil menunjukkan beberapa kepingan paling berharga dari koleksi ambar di House of Nature di Cismar, yang diuruskan olehnya.
Bagi ramai, mengumpul ambar lebih daripada sekadar nilai wang.
Nilai ambar, yang dipanggil Bernsteindalam bahasa Jerman, bergantung pada kualitinya dan bermula dari beberapa euro setiap gram untuk kepingan biasa hingga lebih daripada 1,000 euro (AS$ 1,170) untuk kepingan besar yang cantik seperti kala jengking, cicak kecil atau labah-labah.
Namun, bagi Kramer, nilai sebenar ambar tidak dapat diukur dengan wang.
“Mengumpul ambar membuat awda gembira,” kata Kramer dengan senyuman lebar. “Ramai orang memberitahu saya bahawa mengumpul ambar lebih baik daripada yoga. Ia terapi sebenar.”
Dia berkata semua orang, daripada kanak-kanak hingga warga emas, sangat menikmati lawatan pengumpulan ambar dan sering kembali lagi.
“Saya pernah mempunyai CEO yang merangkak di pantai dan sangat gembira apabila menemui seketul kecil ambar,” kata Kramer.
Sebaik sahaja seorang pemula menemui seketul ambar, mereka akan datang kepada Kramer untuk diperiksa untuk mengetahui sama ada ia asli atau hanya batu biasa atau plastik. Untuk mengetahuinya, Kramer mengeluarkan satu balang kaca kecil yang berisi air masin pekat dan meletakkan kepingan itu di dalamnya. Jika tenggelam, itu batu; jika terapung, itu ambar.
Selain ujian air, kain kapas juga boleh digunakan. Ambar kering menjadi elektrostatik apabila digosok dan menarik kepingan kertas.
Dalam beberapa tahun kebelakangan, pengumpul telah menemui satu cara unik lagi untuk mengenal pasti ambar. Mereka keluar pada waktu malam, menerangi pantai dengan lampu suluh yang dilengkapi cahaya hitam. Apabila ambar terdedah, ia bersinar dengan warna kuning terang. Dengan cara ini, pengumpul juga dapat menemui ketulan kecil yang tersembunyi antara batu dan kayu yang sukar dilihat pada siang hari kerana terlalu kecil.
LAWATAN PENGUMPULAN AMBAR
Walaupun ramai peminat pantai mengumpul ambar secara sendiri, lawatan pengumpulan teratur, seperti yang ditawarkan oleh Kramer, muncul dalam beberapa tahun kebelakangan di hampir setiap bandar peranginan di Pantai Baltik Jerman.
Kos lawatan berjalan kaki ini sekitar 10 hingga 20 euro dan selain mencari ambar di pantai, ia sering termasuk ceramah tentang adat rakyat berkaitan ambar.
Pada Abad Pertengahan, orang mengaitkan kuasa magis dengan ambar dan percaya ia melindungi daripada ahli sihir dan iblis. Kini, ramai ibu bapa di Jerman meletakkan rantai ambar pada anak damit mereka kerana dikatakan membantu ketika tumbuh gigi. Banyak kedai perhiasan di Laut Baltik menawarkan kalung ambar untuk anjing yang kononnya menjauhkan kutu.
Namun, mengumpul ambar memberi kepuasan, kata Marion Ruprecht. Wanita berusia 54 tahun dari bandar Bochum di barat Jerman, yang bekerja dalam pentadbiran hospital, telah bercuti di Dahme selama lebih 40 tahun.
“Saya rasa ia sangat mengujakan, menyeronokkan dan juga amat menghiburkan,” katanya sambil dengan bangga memegang dua ketulan yang ditemuinya semasa lawatan malam bersama Kramer. “Saya rasa tiada yang lebih baik untuk dilakukan pada waktu malam, ia menenangkan saya.” – AP

