Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMBD keluar notis penyediaan Overnight Standing Facilities

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengeluarkan notis mengenai Overnight Standing Facilities AMBD.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD hari ini, kemudahan berkenaan adalah bertujuan untuk membantu institusi-institusi perbankan dalam pengurusan kecairan (liquidity management) bagi memastikan sistem kewangan Negara Brunei Darussalam adalah efisien dan berkesan.

    Notis-notis ini adalah hasil daripada beberapa sesi konsultasi di antara AMBD bersama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB).

    Selaras dengan objektif Rangka Tindak Sektor Kewangan Negara Brunei Darussalam (Financial Sector Blueprint) 2016-2025, AMBD telah mengambil langkah dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mengembang majukan lagi pasaran kewangan (money market) di negara ini.

    Pengeluaran notis ini adalah selaras dengan salah satu daripada fungsi AMBD di bawah Perintah AMBD, 2010, iaitu untuk mengembang majukan dan menguruskan sistem dana antara institusi-institusi perbankan serta menetapkan keperluan-keperluan yang tertentu bagi para peserta sistem perbankan.

    Sementara itu, negara turut komited kepada dasar Lembaga Mata Wang, dan Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Singapura. Oleh itu, AMBD telah memastikan bahawa dalam penyediaan rangka Overnight Standing Facilities ini, instrumen dan operasi yang berhubung dengan kemudahan tersebut adalah selaras dengan prinsip-prinsip Lembaga Mata Wang (Currency Board).

    Kenyataan menambah, bagi memastikan kesemua bank di negara ini dapat menggunakan kemudahan Overnight Standing Facilities ini, kemudahan patuh Syariah (Kemudahan Pendanaan dan Penerimaan) dan kemudahan konvensional (Kemudahan Pemberian Pinjaman dan Deposit) akan diperkenalkan. Kemudahan Pendanaan dan Pemberian Pinjaman akan dapat memudahcarakan keperluan kecairan. Manakala, Kemudahan Penerimaan dan Deposit boleh memudahcarakan penyimpanan kecairan berlebihan.

    Untuk mendapatkan kemudahan keperluan kecairan dalam Dolar Brunei, bank-bank di negara ini adalah dikehendaki untuk mencagarkan aset yang berkualiti tinggi. Bagi mendapatkan kemudahan penyimpanan kecairan yang berlebihan, bank-bank boleh menyimpan Dolar Brunei dengan AMBD.

    Tempoh bagi kedua-dua kemudahan tersebut adalah secara semalaman dan kemudahan ini ditawarkan kepada semua bank yang berlesen di negara ini sahaja.

    Bagi mereka yang berkeinginan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai AMBD Overnight Standing Facilities, orang ramai boleh memuat turun nota teknikal di laman web AMBD menerusi www.ambd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda