Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMBD lancar sistem CSD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hari ini melancarkan Sistem Depositori Sekuriti Pusat (CSD).

    CSD merupakan fasa seterusnya bagi Sistem Pembayaran dan Penyelesaian Kebangsaan setelah pelancaran sistem Penyelesaian Kasar Masa Sebenar (RTGS) bagi pemindahan dana bernilai tinggi antara institusi perbankan secara elektronik pada bulan November 2014, pelancaran sistem Automated Clearing House (ACH) bagi pemprosesan cek-cek secara automatik pada bulan Mei 2016 dan pengenalan fungsi kredit langsung dalam sistem ACH yang membolehkan pemindahan elektronik bagi pembayaran bernilai rendah.

    AMBD dalam satu kenyataan berkata, sistem CSD adalah sebuah platform elektronik bagi pendaftaran dan penyelenggaraan rekod-rekod sekuriti pembiayaan dan ianya akan menggantikan proses book-entry yang sebelumnya dilakukan secara manual.

    Pada masa ini, para pengguna sistem CSD adalah terdiri daripada institusi-institusi perbankan. Pengguna sistem CSD kini juga boleh melihat keterangan akaun mereka secara online dan juga dapat membuat pemindahan sekuriti mereka melalui sistem tanpa perlu mengarahkan pemindahan tersebut secara manual.

    Seterusnya, CSD akan melaksanakan lelongan sekuriti-sekuriti baru dan juga platform dagangan bagi memudahkan pasaran sekunder di kalangan para pengguna CSD.

    Menurut AMBD, sistem CSD juga menyediakan perkhidmatan depositori bagi program Sukuk Al-Ijarah.

    AMBD, selaku ejen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi hal-hal yang melibatkan pengeluaran dan penerbitan sukuk, akan memperkenalkan beberapa jenis sukuk yang bersesuaian, termasuk Sukuk Al-Ijarah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berjangka panjang.

    Sistem CSD adalah sangat penting bagi sistem pembayaran dan penyelesaian di Negara Brunei Darussalam dan akan menjadi asas bagi pembangunan pasaran modal di negara ini, termasuklah bagi penubuhan Bursa Saham Brunei nanti.

    Selaras dengan objektif yang ditetapkan dalam Pelan Sektor Kewangan AMBD, sistem CSD akan membantu negara ini dalam meningkatkan perkembangan program sukuk domestik dan menyediakan sebuah platform elektronik bagi penyaluran sukuk ke pasaran tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda