Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMBD, PCSB jalin kerjasama

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Progresif Cellular Sdn Bhd (PCSB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan satu asas kerjasama dan usaha sama berhubung dengan pembekalan maklumat-maklumat kredit kepada Biro Kredit AMBD.

    Majlis penandatanganan MoU tersebut berlangsung di Ibu Pejabat PCSB, Kampung Kiarong, baru-baru ini dengan disaksikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Eksekutif (Biro Kredit) AMBD, Awang Mohammed Roaizan bin Haji Johari dan Ketua Pegawai Kewangan PCSB, Roger Plahay.

    Menandatangani bagi pihak AMBD ialah Pemangku Timbalan Pengarah Urusannya, Haji Adi Marhain bin Leman manakala pihak PCSB ditandatangani oleh, Ketua Pengarah Eksekutifnya, Paul Taylor.

    AMBD dalam kenyataannya hari ini berkata, inisiatif perkongsian maklumat itu bertujuan bagi meningkatkan lagi pengurusan risiko kredit pemberi pinjaman dengan membekalkan mereka dengan data utiliti sebagai maklumat kredit alternatif daripada pembekal-pembekal perkhidmatan ‘credit-like,’ seperti telekom.

    Dengan penyertaan PCSB sebagai satu pembekal maklumat tambahan menjadi satu lagi mercu tanda bagi Biro Kredit yang mana ianya kini mempunyai liputan penuh kesemua syarikat telekomunikasi di Negara Brunei Darussalam.

    Kedua-dua pihak bertukar dokumen ketika majlis penandatangan tersebut.
    Kedua-dua pihak bertukar dokumen ketika majlis penandatangan tersebut.

    Menurut AMBD, kemasukan data utiliti dalam laporan kredit akan membolehkan pelanggan-pelanggan untuk membina ‘reputational collateral’ dengan menunjukkan kesanggupan dan keupayaan untuk membayar balik bayaran yang berpelbagai dan mempunyai jangka waktu tetap terutama sekali bagi pelanggan-pelanggan utiliti yang mana pada kebiasaannya diberi bil secara bulanan yang menyerupai kitaran lazim pembayaran balik pinjaman. Laporan mengenai maklumat positif (seperti bayaran tepat pada masanya) dan maklumat negatif (seperti bayaran terlepas) akan mendorong pelanggan-pelanggan untuk mewujudkan dan mengekalkan sejarah kredit atau pembayaran yang baik yang mana membolehkan mereka untuk meningkatkan akses kepada kredit dengan lebih mudah.

    Bersempena majlis penandatanganan tersebut, para pegawai dan kakitangan PCSB juga diberi taklimat oleh pegawai AMBD tentang fungsi dan peranan Biro Kredit. Biro Kredit turut menyediakan satu kaunter sementara bagi perkhidmatan Self-Inquiry untuk memberi peluang kepada mana-mana pegawai dan kakitangan PCSB yang berhasrat untuk menyemak Laporan Kredit Peribadi masing-masing.

    Laporan Kredit Peribadi yang dikenali sebagai Self-Inquiry Report (SIR) mengandungi maklumat-maklumat kredit individu yang terperinci seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kenderaan bermotor.

    Maklumat-maklumat yang terkandung di dalam laporan kredit tersebut adalah seperti mana yang dilaporkan oleh mana-mana institusi pemberi kredit kepada Biro Kredit.

    Mana-mana individu mahupun syarikat boleh memohon dari Biro Kredit untuk mendapatkan laporan kredit masing-masing bagi tujuan semakan sendiri untuk memastikan kesemua maklumat yang dilaporkan di dalam laporan kredit adalah betul dan dikemaskinikan.

    Biro Kredit adalah sebuah unit di bawah Jabatan Regulatori dan Penyeliaan, AMBD, yang mana mula beroperasi sejak bulan September 2012. Fungsi utama Biro Kredit ialah untuk mengumpul, menyatukan dan mengedarkan maklumat-maklumat kredit bagi tujuan penilaian kepercayaan kredit atau keupayaan untuk membayar balik pinjaman seseorang individu atau sesebuah syarikat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda