Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AMBD raikan Minggu Pelabur Sedunia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Buat kali keempat, Minggu Pelabur Sedunia (WIW) telah diraikan di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini dengan membawa tema ‘Melaburlah dengan Yakin’ yang memfokuskan kepada kesedaran mengenai kepentingan menabung dan melabur, khususnya pada waktu yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 ini.

    Selain itu, WIW juga dihasratkan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai untuk melabur di Negara Brunei Darussalam.

    Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) selaku pengawal selia sekuriti dan ahli Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), merupakan penyelaras kebangsaan bagi WIW.

    AMBD telah bekerjasama dengan Persatuan Perancangan Kewangan Brunei Darussalam (FPAB), Persatuan Pasaran Modal Brunei Darussalam (BCMA) dan Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dalam merancang pelbagai aktiviti untuk meraikan WIW.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD, antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah temu ramah Rampai Pagi, Radio Televisyen Brunei (RTB) bersama perancang kewangan yang berkelayakan, temu ramah Kristal FM bersama perancang kewangan yang berkelayakan dan pakar pelaburan dan pertandingan seni lukis mengenai kesedaran penipuan pelaburan melalui Instagram. AMBD juga telah mengongsikan beberapa tip pelaburan dan beberapa topik kewangan melalui laman web AMBD dan akaun media sosial AMBD.

    Webinar bertajuk ‘Panduan Menjadi Pelabur yang Bijak’ juga telah diadakan yang telah berjaya menarik lebih 200 penyertaan.

    Antara yang telah dibincangkan semasa webinar tersebut adalah pengurusan bajet dan hutang, jenis dan peluang pelaburan, hak seorang pelabur, dan cara untuk menghindari diri daripada terjebak dalam penipuan kewangan.

    Untuk mendapatkan maklumat mengenai WIW dengan lebih lanjut, sila layari laman web AMBD di www.ambd.gov.bn/wiw2020 dan ikuti Instagram AMBD @autoriti_monetari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda