Pelakon Amber Heard mendedahkan dia menerima mesej ugutan bunuh sepanjang perbicaraan fitnah terhadap bekas suaminya iaitu aktor Johnny Depp.
Memetik laporan Hollywoodlife, Amber memberitahu hampir setiap hari dia menerima mesej berbentuk ugutan.
Malah, dia juga kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menjadikan kenyataannya sebagai bahan jenaka.
“Saya menerima ratusan ugutan bunuh, hampir setiap hari. Beribu-ribu, sejak perbicaraan ini bermula. Orang mengejek mengenai kenyataan saya diserang.
“Saya diganggu, dimalukan, diugut, setiap hari walaupun hanya berjalan dalam dewan mahkamah, duduk di hadapan seluruh dunia,” katanya.
Amber juga memperincikan bahawa beberapa ancaman bunuh yang diterimanya bukan sahaja ditujukan kepadanya tetapi juga keluarga.
“Orang ramai mahu memasukkan anak saya ke dalam ketuhar gelombang mikro. Mereka memberitahu saya perkara itu,” ujarnya.
Konflik antara Depp dan Heard bermula selepas aktres itu mendakwa dikasari dan dipukul oleh bekas suaminya itu ketika mereka masih berkahwin. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P18-C_30052022.jpg)