Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil cuti untuk bercucuk tanam

    COLOMBO, 14 JUN – Sri Lanka yang dilanda krisis telah mengarahkan penjawat awam untuk mengambil cuti tambahan setiap minggu supaya mereka dapat bercucuk tanam di halaman rumah dalam usaha untuk mengatasi masalah kekurangan makanan.

    Negara itu mengalami kemelut ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan asasi, petrol dan ubat-ubatan, dengan kadar inflasi yang melonjak telah menjejaskan belanjawan seisi rumah.

    “Ia dilihat sebagai sesuatu yang berpatutan untuk membenarkan mereka mengambil cuti tambahan sehari dalam seminggu untuk melibatkan mereka dalam aktiviti pertanian di halaman rumah,” menurut kenyataan kabinet hari ini.

    Cuti tambahan akan menjadi ‘penyelesaian kepada kekurangan bekalan makanan yang dijangka akan berlaku pada masa akan datang’, menurut kenyataan. Penjawat awam yang tidak perlu berulang-alik ke pejabat juga dapat membantu mengurangkan penggunaan minyak petrol.

    Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Sri Lanka akan berdepan ‘krisis kemanusiaan yang teruk’ dan berkata empat daripada lima penduduk di negara yang mempunyai 22 juta orang itu mungkin terpaksa berlapar.

    Sementara itu, pemandu berdepan masalah kekurangan bekalan diesel dan petrol sejak berbulan-bulan, dan kenderaan beratur panjang di luar stesen minyak di seluruh negara.

    Kakitangan swasta akan dicutikan setiap Jumaat bagi tempoh tiga bulan akan datang tanpa menerima bayaran, menurut keputusan kabinet, tetapi peraturan itu tidak dikenakan ke atas kakitangan bagi perkhidmatan penting. – AFP

    Sri Lanka membenarkan penjawat awam mengambil cuti tiga hari pada hujung minggu untuk membolehkan mereka bercucuk tanam bagi mengatasi masalah kekurangan makanan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda