Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) petang tadi telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Majlis petang tadi itu dihadiri oleh Yang Di-Pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah.
Turut hadir ialah naib yang dipertua PENJURU, ahli jawatankuasa tertinggi persatuan, ahli-ahli persatuan, jururawat dan bidan dari hospital-hospital dari keempat-empat daerah serta pusat-pusat kesihatan di Daerah Brunei dan Muara, persatuan-persatuan yang berdaftar dan juga ahli Muslimah masjid.
Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah semasa menyampaikan ucapannya menyatakan bahawa majlis ini diadakan bertujuan untuk memperingati peristiwa yang bermakna bagi semua umat Islam di samping sama-sama menghayati peristiwa yang pernah dilalui oleh Rasulullah S.A.W dan seterusnya mensyukuri kemuliaan dan keagungan bulan Rejab.
Majlis kemudian diserikan lagi dengan sebuah ceramah khas yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.



Beliau dalam ceramahnya menyentuh mengenai dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan Israk dan Mikraj untuk diambil iktibar dalam membuat yang terbaik dalam profesion yang diharungi.
Melalui ceramah tersebut juga memberikan kefahaman dan pengetahuan mengenai dengan tema Sambutan Israk dan Mikraj iaitu ‘Iman Teguh, Akidah Kukuh’ dan akan dapat menyatupadukan serta memperkukuhkan silaturahim ahli-ahli PENJURU dengan kalangan jururawat dan bidan di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, dengan adanya majlis ini diharapkan semua kakitangan di semua peringkat akan dapat menyumbangkan perkhidmatan yang menjurus ke arah mutu akidah yang mulia hingga ke tahap akhlak mulia.