Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil langkah awal kejadian cuaca aktif hingga 14 Sept

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif sehingga 14 September dengan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dengan keadaan laut pada amnya berombak di paras antara 0.4 meter hingga 0.8 meter, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini.

    Kenyataan itu turut menyatakan, negara pada masa ini masih berada dalam monsun barat daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga hujung September.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Pada masa yang sama, kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit, Brunei WX atau boleh hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian 114 atau layari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran WhatsApp dan Telegram Brunei Weather.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda