Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Taufan Fung-wong yang dikesan kelmarin di koordinat 12.7°N 131.3 °E, sekitar 2,033 km jauh dari Negara Brunei Darussalam diramal bergerak ke barat dan kemudian ke barat laut dan menjauhi negara kita.
Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), taufan itu dijangka mempengaruhi keadaan cuaca negara.
Keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula 9 hingga 14 November dengan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir berserta angin kencang dijangka akan menjejaskan kawasan laut dan beberapa kawasan negara dengan kelajuan angin sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa peralihan monsun, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung November.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5 meter hingga 1.6 meter.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut diparas sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil.
Pada masa yang sama, orang ramai khususnya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau laman sesawang www.met.gov.bn, Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram serta WhatsApp Brunei Weather.

