Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Negara Brunei Darussalam sedang mengalami monsun barat daya sehingga September ini, dijangka menerima kesan tidak langsung susulan Ribut Tropika Soulik yang dikesan di kawasan laut timur Vietnam, kira-kira 1,600 kilometer dari negara ini.
Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ribut tersebut diramalkan bergerak ke arah barat dan dijangka semakin reda, namun keadaan cuaca di negara ini diramalkan terjejas dengan hujan lebat, ribut petir, serta angin kencang dalam beberapa hari akan datang.
Menurut BDMD, kelajuan angin boleh mencapai sehingga 60 kilometer sejam semasa hujan lebat, manakala keadaan laut dijangka berombak sederhana hingga bergelora dengan ketinggian ombak antara 1 hingga 2 meter.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan risiko kejadian pokok tumbang, tanah susur, dan banjir kilat, terutamanya di kawasan rendah serta berhampiran sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan kejadian air pasang.
BDMB turut menasihatkan pengguna jalan raya dan para pelaut untuk sentiasa peka terhadap ramalan dan amaran cuaca terkini serta membuat perancangan yang sesuai bagi keselamatan masing-masing.
Maklumat, nasihat, dan amaran cuaca terkini boleh diakses melalui aplikasi Brunei WX, Talian Cuaca 114, laman web www.met.gov.bn, serta saluran media sosial rasmi BDMD iaitu laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram Brunei Weather.