Sunday, November 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil langkah proaktif jaga kesihatan jantung, cegah penyakit kardiovaskular

    Oleh Sim Y. H. –

    Penyakit kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam di mana pada 2023, sebanyak 520 kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dengan 31 peratus daripada kematian berkenaan adalah kematian pramatang.

    Perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding 2012. Sementara itu, jumlah individu yang dimasukkan ke hospital dengan diagnosis penyakit kardiovaskular adalah 1,722 orang pada tahun yang sama.

    Peningkatan kadar kematian pramatang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dari tahun ke tahun sangat membimbangkan, terutama sekali dalam sedekad kebelakangan ini.

    Tambahan lagi, penyakit ini semakin banyak menyerang golongan yang lebih muda dan menyebabkan beban ekonomi dan sosial yang signifikan kepada masyarakat.

    Isu ini perlu ditangani dengan lebih awal memandangkan kebanyakan faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular boleh dicegah.

    Gambar Canva
    Gambar Canva
    Salah satu langkah proaktif boleh diambil untuk menjaga kesihatan jantung adalah dengan menjalani pemeriksaan atau saringan kesihatan untuk pengesanan awal dan rawatan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Gambar Pexels

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan Sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2024.

    Beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor risiko utama yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular termasuklah faktor-faktor risiko tingkah laku seperti penggunaan tembakau, amalan makanan tidak sihat seperti pengambilan lemak dan garam yang berlebihan, dan gaya hidup yang tidak aktif.

    Manakala, faktor lain iaitu risiko biologi seperti obesiti, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes juga dapat dicegah atau dirawat, jika ia dikesan dengan lebih awal.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia.

    Menurut Persekutuan Jantung Sedunia, penyakit kardovaskular seperti serangan jantung, strok dan kegagalan jantung menyebabkan lebih daripada 20.5 juta kematian setiap tahun.

    Pada 2019 sahaja, dianggarkan sebanyak 17.9 juta orang meninggal dunia akibat kematian pramatang iaitu kematian sebelum umur 70 tahun yang mana 38 peratus daripadanya adalah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular.

    SAMBUTAN HARI JANTUNG SEDUNIA 2024, GUNAKAN HATI UNTUK BERTINDAK

    Setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Jantung Sedunia pada 29 September yang mana ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit kardiovaskular, termasuk langkah-langkah pencegahan dan kesannya.

    Dengan membuat perubahan kecil pada gaya hidup, ia boleh menjaga kesihatan jantung dan mencegah penyakit kardiovaskular.

    Hari Jantung Sedunia 2024 yang membawa tema Gunakan Hati untuk Bertindak, memberikan penekanan kepada tang-gungjawab Individu di mana ia menggesa setiap individu untuk mengambil langkah proaktif dalam kehidupan harian mereka bagi menjaga kesihatan jantung, termasuklah membuat pilihan gaya hidup sihat serta usaha kolektif komuniti di mana ia menekankan pentingannya penglibatan dan sokongan komuniti dalam memberikan inspirasi dan dorongan kepada orang di sekeliling mereka, bagi mewujudkan perubahan positif yang berpanjangan.

    Tema juga menekankan kepada akses kesihatan yang adil untuk semua di mana ia menyeru tindakan dalam menyokong akses yang adil terhadap kesihatan jantung, dengan memberi kuasa kepada masyarakat untuk mendesak dasar-dasar yang mengatasi ketidaksamaan dalam kesihatan dan memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

    Tema turut memberikan penekanan kepada usaha individu di mana beberapa langkah proaktif boleh diambil untuk menjaga kesihatan jantung iaitu mengetahui ciri-ciri jantung yang sihat, seperti mempunyai tekanan darah, degupan jantung dan paras kolesterol yang normal dan berfungsi dengan baik, mengenali gejala-gejala penyakit jantung, seperti sesak nafas, pening atau sakit dada, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit kardiovaskular serta langkah-langkah utama bagi pencegahannya, mematuhi nasihat doktor, termasuk pengambilan ubat-ubatan yang dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, menjalani pemeriksaan atau saringan kesihatan untuk pengesanan awal dan rawatan, yang mana boleh membantu mengawal penyakit dan mencegah komplikasi penyakit kardiovaskular serta mengamalkan gaya hidup sihat, seperti pengambilan makanan sihat dan seimbang, bersenam secara konsisten, rehat dan tidur yang cukup dan berkualiti bagi mengurangkan tekanan atau stres serta berhenti merokok.

    INISIATIF KEMENTERIAN KESIHATAN MENGGALAKKAN MASYARAKAT MENGAMAL GAYA HIDUP SIHAT

    Kementerian Kesihatan secara berterusan mengadakan beberapa inisiatif bagi menggalakkan semua lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam mengamalkan gaya hidup sihat dan pengesanan awal faktor risiko tingkah laku melalui aplikasi BruHealth.

    Inisiatif Kejohanan BN on The Move 2024 yang diperkenalkan melalui aplikasi BruHealth mempunyai beberapa ciri baharu termasuk cabaran langkah komuniti, cabaran korporat dan juga sistem mata insentif yang dikenali sebagai BruPoints, yang mana ia bertujuan meningkatkan tahap kegiatan fizikal masyarakat dengan meningkatkan jumlah langkah setiap hari.

    Melakukan senaman secara kerap seperti berjalan kaki setiap hari dapat membantu meningkatkan kesihatan jantung, kualiti tidur serta kesihatan mental yang baik, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

    INISIATIF HEALTH INDEX AND RISK ASSESSMENT

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerangkan bahawa inisiatif Health Index and Risk Assessment telah diperkenalkan dengan matlamat untuk menggalakkan orang ramai untuk menilai status kesihatan masing-masing dan menjalani saringan kesihatan bagi pengesanan awal faktor risiko tingkah laku dan penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuklah penyakit kardiovaskular.

    “Pengesanan awal melalui saringan ini membolehkan rawatan awal penyakit kardiovaskular serta pencegahan komplikasi yang berkaitan,” tambahnya.

    SERUAN KEPADA SEMUA UNTUK BERTINDAK SEKARANG DAN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KESIHATAN

    “Sempena Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, saya menyeru agar setiap individu bertindak sekarang dan bertanggungjawab terhadap kesihatan masing-masing demi untuk meningkatkan peluang kekal sihat dan menikmati hidup yang berkualiti pada usia lanjut,” tekan Yang Berhormat Dato.

    “Bersama-sama, kita boleh mencipta perubahan yang positif dan memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk hidup lebih sihat dan berkualiti.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda