Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Orang ramai disarankan untuk terus peka dan sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan rumah serta harta benda dengan melaksanakan pemeriksaan untuk mengurangkan punca-punca kebakaran terutama semasa meninggalkan rumah untuk bercuti atau keluar beriadah bersama keluarga.
Di samping itu, semasa musim percutian dan cuti tahun baharu, sebilangan orang ramai dijangka mengambil peluang cuti berkenaan untuk beriadah di kawasan pantai.
Dalam hubungan itu, mereka yang bercuti di kawasan pantai atau memilih untuk beriadah dengan mendaki bukit, mengambil langkah berwaspada sentiasa serta untuk tidak mengambil risiko jika keadaan cuaca yang kurang baik.
Pesanan berterusan itu ditekankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sebagai peringatan kepada orang ramai untuk mengutamakan keselamatan diri mereka, keluarga dan harta benda semasa musim percutian pada masa ini.
Dalam hubungan itu, pihak bomba dan penyelamat menekankan kepada seluruh warga masyarakat di Negara Brunei Darussalam supaya akan sentiasa peka serta menitik beratkan aspek keselamatan dan pencegahan bagi menghindari berlakunya kebakaran di kediaman mereka.
Mereka juga disarankan untuk memastikan kediaman dilengkapi dengan alat pencegah kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api dan alat pengesan asap, mempunyai pelan tindakan kecemasan supaya tahu perkara yang perlu dibuat jika berlaku kebakaran, memastikan penggunaan peralatan elektrik sentiasa dikawal, dipantau dan mengikut piawaian yang betul, mematikan suiz peralatan elektrik jika tidak digunakan, mengawasi dan untuk tidak meninggalkan masakan serta memastikan kepala gas dan hos LPG mengikut piawaian yang betul.
Bagi mereka yang melancong bercuti ke luar negara dan balik kampung, disarankan untuk membuat senarai semak sebelum meninggal-kan rumah iaitu dengan memastikan mana-mana peralatan elektrik yang tidak diperlukan seperti kipas angin, alat penyaman udara dan televisyen dimatikan serta menutup atau menanggalkan kepala gas memasak untuk mengelakkan kebocoran.
Bagi mereka yang beriadah mendaki bukit, disarankan untuk tidak masuk atau meredah terlalu jauh ke dalam kawasan bukit yang di luar kemampuan atau jika tidak biasa dengan laluannya serta untuk tidak masuk ke dalam kawasan bukit jika keadaan sekeliling atau cuaca sudah mula gelap atau dalam keadaan hujan.
Mereka juga disarankan untuk tidak pergi mendaki secara berseorangan dan untuk memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat mereka akan beriadah. Bagi keselamatan, disarankan untuk membawa wisel, lampu, telefon bimbit dan air yang mungkin akan diperlukan jika berlaku kecemasan.
Sementara itu, bagi yang melakukan aktiviti di pantai atau perairan, disarankan untuk tidak berenang terlalu jauh dari pantai atau di luar kemampuan mereka, harus sentiasa mengawasi anak-anak jika mereka bermain atau berenang di pantai, memastikan untuk memakai jaket keselamatan jika mereka bermain jet ski atau papan luncur serta jika mendapati ada orang lemas dan minta pertolongan, mereka harus memastikan bahawa pandai berenang serta memakai jaket keselamatan sebelum menyelamatkannya orang berkenaan.
JBP turut menyarankan orang ramai yang beriadah di kawasan pantai untuk sentiasa mengetahui mengenai keadaan air dan kejadian arus deras (Rip Currents) di mana jika mereka masuk ke dalam arus deras, mereka dinasihatkan untuk tidak panik, apungkan badan mereka keluar daripada arus berkenaan serta untuk berenang ke sisi kiri atau kanan daripada lingkungan arus dan berenang ke daratan.