Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa kebakaran, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan di Sekolah Ugama Masin, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, di sini, latihan pada 21 Oktober itu melibatkan seramai 180 orang guru, kakitangan dan pelajar sekolah di mana latihan pengosongan dijalankan di seluruh kawasan bangunan berkenaan bersama sembilan orang anggota bomba dengan tiga buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Batu yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Haji Akup bin Haji Aliusin.
Latihan kebakaran bangunan itu mengetengahkan senario di mana satu kebakaran telah terjadi di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan yang memerlukan
semua guru, kakitangan dan pelajar untuk mengosongkan bangunan.
Latihan itu dihasratkan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota, menguji kemahiran dan mengadakan latihan praktikal yang merupakan faktor utama dalam operasi memadam dan menyelamat.
Ia juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek keselamatan kebakaran di sekolah serta untuk mengesahkan keberkesanan prosedur bagi pengosongan bangunan yang lebih efektif dan bersistematik yang dijalankan oleh pihak JBP dan pihak sekolah.
JBP turut menyarankan supaya orang ramai akan meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa cuaca tidak menentu, memastikan pemasangan dan penyambungan pendawaian elektrik dibuat oleh orang yang berkemahiran dan diiktiraf atau bertauliah dan mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik serta sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.
