Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil masa teliti varian jangkitan COVID

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Kementerian Kesihatan terus melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti jenis varian COVID di negara ini.

    Sehubungan itu, mana-mana individu yang didapati positif COVID melalui ujian swab RT-PCR maka secara langsung akan menjalani ujian-ujian menerusi pensampelan penjujukan genom yang kebiasaannya memerlukan tempoh yang lama iaitu sekitar tiga hingga empat minggu.

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar bagi mengulas persoalan orang awam mengenai tempoh yang diperlukan bagi meneliti varian-varian jangkitan COVID pada individu yang dijangkiti semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Berikutan dengan kes import melibatkan varian Omicron BA.4 yang dikesan baru-baru ini, Yang Berhormat Dato berkata berdasarkan pemantauan setakat ini, tiada jangkitan kes tempatan yang melibatkan varian tersebut.

    Jelasnya, walaupun ramai yang melakukan ujian pantas antigen (ART), namun pelaksanaan ujian penjujukan genom kini hanya diaplikasikan bagi mana-mana individu yang didapati positif setelah melakukan ujian swab RT-PCR.

    “Dalam masa terdekat, jika jumlah ujian swab RT-PCR dilihat berkurangan, berkemungkinan mana-mana individu yang dida-pati positif daripada ujian ART akan dijemput untuk melakukan ujian swab RT-PCR bagi keperluan surveillance,” kongsi beliau.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan, berdasarkan ujian penjujukan genom terhadap sampel kes-kes positif COVID sejak awal Januari sehingga penghujung bulan Mei lalu, 87.9 peratus didapati membabitkan varian Omicron dan selebihnya daripada varian Delta.

    “Varian Delta hanya dikesan sekitar awal Januari namun sejak bulan Februari dan berikutnya telah menyaksikan lebih kepada penularan varian Omicron,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda