Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Selain menjadi krisis kesihatan global, pandemik COVID-19 juga telah memberikan kesan sosioekonomi yang meluas di mana ia telah meletakkan jutaan syarikat dalam risiko dipaksa untuk menutup perniagaan.
Dengan ekonomi global secara perlahan-lahan menemui jalan keluar daripada pandemik, perniagaan-perniagaan terus menanggung beban kejutan ekonomi berkenaan dengan ketidakpastian pemulihan yang dijadikan lebih ketara dengan kemunculan varian baharu, kluster serta juga pancangan kes.
Namun begitu, negara dan ekonomi mula dilihat keluar daripada bayang-bayang COVID-19 dan ia merupakan satu tempoh untuk melihat ke hadapan dengan penuh harapan dan mula untuk meneroka bagaimana komuniti perniagaan boleh Recover, Stronger, Together Sama-sama.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Noraini binti Haji Sulaiman ketika menyampaikan kata alu-aluannya semasa Anugerah Perniagaan ASEAN 2021 (ABA 2021) yang berlangsung secara maya, kelmarin.
Beliau menambah bahawa untuk memenuhi cabaran yang dikemukakan oleh pandemik itu, perniagaan harus bertindak secara tentu, lincah dan inovatif. Dalam bergerak ke fasa seterusnya, perniagaan kini harus mencari dan merebut peluang-peluang yang muncul dalam pemulihan itu.

Hajah Noraini menambah bahawa BIBD, sebagai institusi kewangan terbesar di Brunei, amat menghargai peluang diberikan untuk menjadi penaja utama bagi anugerah berkenaan di mana mereka percaya adalah mustahak untuk meraikan daya tahan perniagaan
terutamanya dalam tempoh yang paling mencabar ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Dayang Farida binti Dato Seri Paduka Talib dalam ucapannya menyatakan bahawa Brunei LNG komited untuk menjadi rakan kongsi tenaga bertanggungjawab dan mampan kepada Brunei serta seluruh ASEAN dalam perjalanan global menuju ke arah peralihan tenaga dengan menyasarkan peralihan 10 peratus daripada sumber penjanaan kuasa daripada gas bahan api kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.
Pada Julai 2021, beliau berkongsi bahawa Brunei LNG mencapai satu kejayaan menjadi peneraju sebagai pembekal kargo LNG neutral karbon di rantau Asia Tenggara.
Beliau juga menyentuh mengenai peluang utama dalam transformasi menerusi pelaburan aktif dalam membangunkan keupayaan yang tepat bagi masa hadapan melalui peningkatan kemahiran warga tempatan Brunei menjadi lebih celik digital dan menjana tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia untuk pekerjaan masa hadapan.
Beliau berharap usahawan ASEAN akan memainkan peranan yang penting dalam menjana dan menerokai peluang-peluang berkenaan dengan menyediakan penyelesaian inovatif dan membangunkan kapasiti untuk menyokong rantau serta rakan perusahaannya yang lebih besar dalam menangani cabaran-cabaran masa hadapan.