Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ambil iktibar dari kejadian nasi bangas dan berulat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan rasa dukacita dan terkejut mengenai isu nasi bangas dan berulat serta roti berkulat yang disajikan kepada penuntut sekolah dan penjawat awam.
     
    Berikutan dengan isu berkenaan, Baginda Sultan hari ini telah berkenaan berangkat bagi mempengerusikan mesyuarat khas di Istana Nurul Iman.
     
    Dalam perkara itu, Baginda terpanggil untuk mengadakan perjumpaan kerana sehingga kini masih terdapat segelintir orang ramai yang memperkatakan tentang insiden tersebut.
    Baginda sangat memahami kekesalan serta keriuhan orang ramai, khususnya daripada kalangan ibu bapa. Sudah tentu tidak sesiapa pun yang mahu anak-anak mereka makan makanan bangas.
     
    “Alhamdulillah, Allah maha kasih kepada kanak-kanak dengan memberikan kepada mereka hidayat petunjuk supaya jangan makan nasi yang bangas, sekiranya semua mereka itu makan nescaya sekaliannya akan mengalami keracunan dan beramai-ramai dibawa ke hospital.”
     
    Baginda menilai tidak cukup dengan hanya jawapan tiada penuntut yang dilaporkan mengalami keracunan makanan tetapi seharusnya yang wajib ditekankan ialah sama ada semua yang terlibat telah mendapat bahagian makanan mereka dengan sempurna.
     
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan berangkat bagi mesyuarat khas di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada mesyuarat khas di Istana Nurul Iman, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat pada mesyuarat khas berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    ATAS & BAWAH : Antara yang menghadiri Mesyuarat Khas Bersama Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Perkahwinan Diraja, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    “Apa yang sangat mendukacitakan ialah perkara ini dialami oleh penuntut-penuntut sekolah yang tidak berdaya untuk mencari alternatif sendiri berbanding penjawat awam,” tegas Baginda.
     
    Baginda yakin, sesiapapun dapat menjangkakan kenapa nasi tersebut bangas dan berulat iaitu disebabkan kecuaian sewaktu penyediaannya dan difahamkan bahawa terdapat penyediaan makanan yang dibuat sehari lebih awal walhal makanan tersebut adalah untuk bekalan keesokan harinya.
     
    “Bukankah tindakan ini boleh mendatangkan mudarat dari segi kesihatan kepada mereka yang memakannya,” tegas Baginda.
     
    Titah Baginda lagi, sebilangan pihak sekolah pula dilaporkan telah menyimpan atau meletakkan makanan di tempat yang tidak beratap dan terdedah kepada lalat dan cuaca panas sehingga makanan berubah rasa dan menjadi bangas.
     
    Kejadian ini, tegas Baginda, turut ditularkan di media sosial dan kemudiannya sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seolah-olah kesemua bekalan makanan yang disediakan oleh syarikat-syarikat pembekal yang dipilih telah didapati dalam keadaan tercemar. 
     
    “Walhal beta difahamkan bahawa ia hanya melibatkan bekalan oleh dua syarikat pembekal sahaja.”
     
    Perkara ini amatlah mendukacitakan lebih-lebih lagi apabila terdapat sebilangan kecil orang ramai khusus para warganet, titah Baginda, telah menggunakan media sosial untuk menyuarakan kekesalan mereka.
     
    Malah sehingga ada yang tergamak untuk melemparkan kata-kata cemuhan serta berunsur hasutan dan secara lantang membidas ketidakcekapan pihak jawatankuasa tertinggi, urus setia dan jawatankuasa kerja malah ahli-ahli kerabat diraja juga turut menerima tempias tohmahan tersebut. 
     
    “Padahal beta telah memberikan amanah dan kepercayaan yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat agar memastikan semua berjalan lancar, teratur dan sempurna,” titah Baginda.
     
    Namun nasi sudah menjadi bubur, titah Baginda, apa yang mesti dibuat sebagai langkah ke hadapan ialah dengan mengambil iktibar serta pengajaran daripada insiden ini.
     
    Baginda turut menegaskan, “Apakah sepanjang perancangan bagi membekalkan makanan tersebut dilaksanakan? Pihak jawatankuasa turut memikirkan sebarang jangkaan worst case scenario yang mungkin berlaku semasa acara tersebut.” 
     
    Baginda ingin tahu apakah pihak berkenaan ada sebarang kaedah atau pelan-pelan alternatif jika jangkaan worst case scenario tersebut berlaku.
     
    Titah Baginda lagi, perlu ada penilaian dan pemerhatian keadaan dan kemampuan syarikat-syarikat pembekal sebelum menetapkan jumlah yang dibenarkan untuk syarikat-syarikat berkenaan menyediakan makanan. 
     
    “Beta dimaklumkan ada syarikat sampai 9,000 lebih dibenarkan untuk mengagihkan tapau, ada yang 6,000 lebih, ada 5,000 lebih dan 4,000 lebih dan seterusnya,” tegas Baginda.
     
    Jumlah-jumlah ini memang besar maka mesti ditimbang, diteliti terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang jumlah bagi satu-satu syarikat.
     
    “Timbang dan nilai dahulu keadaan dan kemampuan pihak-pihak yang akan diminta membuat urusan termasuk bilangan pekerja berapa orang dan juga soal peralatan.”
     
    Semua ini, tegas Baginda, mesti diteliti dahulu termasuk lebih mustahak diingat ialah risiko sekiranya pihak penyedia itu tidak mampu dan tidak cukup pengalaman serta peralatan, ia semua mesti dikenal pasti terlebih dahulu.
     
    Acara yang diadakan diketahui merupakan sebuah acara berskala besar yang melibatkan jumlah keramaian penuntut sekolah dan penjawat awam. 
     
    “Jika makanan-makanan tersebut sudah tercemar dan tidak ada alternatif lain maka bermakna, para peserta berada dalam keadaan berlapar.”
     
    Sekiranya acara-acara sedemikian memerlukan lebih banyak penyertaan syarikat-syarikat katering atau pembekal makanan di negara ini, maka perkara tersebut boleh sahaja ditawarkan asalkan pihak-pihak yang terlibat dapat menjamin mutu perkhidmatan yang diberikan adalah berkualiti dan yang terbaik. 
     
    “Beta tidak mahu jika perbelanjaan pihak kerajaan yang dikeluarkan ini sebaliknya hanya akan merugikan pihak kerajaan dan lebih-lebih lagi berpotensi untuk mendatangkan kesan buruk kepada mana-mana pihak.
     
    “Beta tidak ingin memberati atau menunding jari kepada mana-mana pihak, beta percaya bahawa setiap pihak berkenaan telah cuba melakukan yang terbaik.”
     
    Baginda percaya, masih ada perkara-perkara yang memerlukan pembaikan dan dibuat kepastian bahawa setiap acara akan berjalan dengan baik dari mula hingga akhir.
     
    Dalam titah, Baginda turut mempersoalkan, apakah jawatankuasa sudah ada post-mortem dibuat berhubung perkara berkenaan, apakah sudah ada rancangan pembaikan bagi acara-acara lain di masa hadapan?
     
    Selain isu makanan, Baginda turut menyentuh mengenai isu kenderaan, yang mana Baginda difahamkan penuntut sekolah terpaksa menunggu bas begitu lama tetapi bas tidak kunjung tiba. 
     
    “Ke manakah bas-bas itu pergi bersama pemandunya? Ke mana lesapnya bas-bas selepas membawa kanak-kanak ke tempat yang ditentukan? Mengapa bas-bas itu tidak diaturkan untuk menunggu di tempat tertentu bagi kanak-kanak mudah menulusnya setelah selesai perarakan?,” tegas Baginda.
     
    “Jika memang berlaku kesesakan lalu lintas maka pihak-pihak yang berkenaan harus mencari jalan-jalan alternatif dan bukannya menunggu sehingga kesesakan reda, bukankah ada jalan lain yang boleh digunakan lebih-lebih lagi mengambil kira perarakan telah pun selesai.”
     
    Baginda bertitah, setiap perancangan perlu ada perancangan utama, perancangan alternatif dan juga perlu mengambil kira worst case scenario.
     
    “Beta suka memberi teguran dan saranan kepada semua jawatankuasa yang mengendalikan majlis ataupun acara-acara besar negara agar sentiasa memikirkan setiap pelan-pelan perancangan secara terperinci dari awal majlis hingga ke hujung majlis selesai dan bersurai.”
     
    Apa jua tindakan, susulan atau rancangan sepatutnya dibuat kajian dan penelitian yang mendalam mengenainya dan Baginda mengalu-alukan sebarang pandangan atau ulasan mengenainya.
     
    Baginda dalam titahnya sekali lagi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala usaha dan penat lelah yang telah disumbangkan dan berdoa semoga Allah SWT akan membalas segala kebaikan tersebut dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...