Berapa minggu lepas, saya berkesempatan untuk mengunjungi sebuah festival di Jerudong.
Festival tersebut disambut dengan meriah dengan alunan muzik, lampu warna-warni dan lautan pengunjung daripada pelbagai peringkat usia, namun saya mula menyedari sesuatu yang meresahkan.
Di sebalik kemeriahan itu, beberapa deretan gerai sibuk melayan pelanggan, ada satu hakikat yang sukar dinafikan iaitu peniaga-peniaga luar kelihatan jauh lebih mendapat sambutan dan untung berbanding peniaga tempatan. Sedangkan festival tersebut sepatutnya menjadi pentas terbaik untuk peniaga Brunei menonjolkan keunikan, kreativiti dan hasil tangan sendiri.
Contohnya cukup dekat, gerai krep durian, durian kuning dan pelbagai makanan inovatif berasaskan buah yang sebenarnya sangat sinonim dengan Brunei. Durian kuning bukan sesuatu yang asing; ia tumbuh subur di kampung-kampung kita, menjadi kebanggaan ramai ketika musim tiba.
Namun pada festival itu, saya melihat peniaga luar yang mengetengahkan menu-menu durian dengan cara yang begitu kreatif hingga menjadi tumpuan utama pengunjung. krep durian dengan persembahan menarik, lampu kecil menghiasi gerai, susunan makanan yang rapi, dan strategi pemasaran ringkas tetapi berkesan membuatkan orang beratur panjang tanpa henti. Malah, mereka bijak menggunakan media sosial, video ringkas, dan gaya penyampaian yang meyakinkan.

Dalam masa yang sama, saya melihat beberapa peniaga tempatan yang duduk menunggu, sesekali tersenyum hambar kerana pelanggan tidak seramai yang diharapkan. Ada gerai yang produknya bagus, rasanya tidak kurang hebat, tetapi persembahannya kurang menonjol.
Bukan kerana mereka tidak berbakat, tetapi kerana mereka masih terperangkap dalam cara lama dan berharap pelanggan datang dengan sendiri, tanpa mencuba menarik perhatian melalui kelainan. Situasi ini membuatkan saya terpikir, adakah kita terlalu selesa sehingga gagal melihat keperluan untuk berkembang?
Kita sering berbangga dengan hasil tempatan dan memang kita patut bangga. Namun bangga saja tidak cukup. Dunia perniagaan hari ini bergerak pantas; siapa yang berani mencuba sesuatu yang baharu, dialah yang menang. Jika peniaga luar yang datang hanya untuk beberapa hari mampu membawa pulang keuntungan berkali ganda, bukankah itu petanda jelas bahawa kita perlu belajar sesuatu daripada mereka? Mereka tidak datang dengan kelebihan bahan mentah atau resipi lama yang diwarisi; mereka datang dengan kreativiti, inovasi dan keberanian untuk bereksperimen. Itulah yang membezakan.
Melihat keadaan ini, saya terfikir bahawa festival seumpamanya sepatutnya menjadi ruang pembelajaran besar untuk peniaga tempatan.
Tidak salah jika kita belajar daripada mereka bagaimana mereka menata gerai, bagaimana mereka menjenamakan makanan biasa menjadi sesuatu yang menarik, bagaimana mereka menggunakan media sosial untuk menarik pengunjung dan yang kita perlukan hanyalah keberanian untuk mengubah cara kerja dan bersaing dengan mentaliti yang lebih segar.
Saya percaya bahawa Brunei mampu melonjak jika kita mengambil peluang seperti ini untuk menilai kelemahan dan memperbaiki diri. Jika peniaga tempatan berani mencipta semula, menambah inovasi dan tidak takut kepada persaingan, saya yakin suatu hari nanti kita bukan sahaja mampu berdiri setaraf peniaga luar, malah mungkin melangkaui mereka.
Pembeli
