Oleh Salawati Haji Yahya –
BANADR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dalam memberikan pendidikan yang berkesan bukan hanya tertumpu kepada pendidikan bagi kanak-kanak biasa sahaja, malah pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas turut diambil perhatian penting oleh Kementerian Pendidikan.
Antara usaha pihak kementerian untuk menyediakan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini adalah dengan menambah guru pendidikan khas.
Ia dengan pengambilan tenaga baharu melalui program perantis, di mana seramai 19 orang telah diambil melalui program berkenaan dan pengambilan Special Education and Support Educator (SENSE) seramai 55 orang.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Seria Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh mengongsikan perkara itu bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, guru SENSE adalah guru biasa yang diberikan kursus latihan asas pendidikan khas dan akan mengajar pelajar berkeperluan khas secara separuh masa. Selain itu, 30 orang guru agama juga sedang menjalani kursus asas bagi menampung keperluan guru agama pendidikan khas untuk pengintegrasian.
Di samping itu, Kementerian Pendidikan merancang dan masih meneliti bagi pengambilan guru-guru secara berkontrak dalam kalangan mereka yang bersara dan pengalaman bagi membantu memberi khidmat mereka kepada kanak-kanak berkeperluan khas berkenaan.
Yang Berhormat Datin seterusnya berkata, “Kebanyakan kanak-kanak ini ada yang dihantar ke sekolah, dan disebabkan interversi secara perseorangan, kadang-kadang mereka tidak dapat dimasukkan ke dalam kelas atas sebab keperluan tertentu tapi dimasukkan ke dalam bilik khas.
“Ada pelajar yang hanya hadir ke sekolah beberapa hari dalam seminggu dan ini adalah untuk memberi laluan kepada pelajar-pelajar lain, dan juga disebabkan tenaga pengajar yang tidak mencukupi.
“Kementerian Pendidikan akan terus berusaha untuk menambah lagi bilangan guru yang dapat mengajar atau menangani isu keramaian pelajar berkeperluan khas,” jelasnya.


