Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ambil tindakan tegas terhadap vape’

    PHNOM PENH, 5 MEI – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap rokok elektronik memandangkan semakin ramai pelajar mula terpengaruh dengan tabiat itu.

    Beliau turut menegaskan bahawa pelaburan dalam pengeluaran rokok elektronik tidak dialu-alukan di Kemboja.

    Bercakap semasa pelancaran rasmi Pelan Kawalan Kanser Kebangsaan 2025-2030, Hun Manet berkata negara itu menawarkan banyak peluang pelaburan lain yang lebih sesuai dan bermanfaat kepada para pelabur.

    Menurut laporan media rasmi Agence Kampuchea Presse, beliau menegaskan bahawa syarikat tidak dibenarkan menghasilkan rokok elektronik di Kemboja.

    “Jika pelabur datang dengan jenis pelaburan lain, saya alu-alukan. Tetapi bagi rokok elektronik, Kemboja boleh kata tak perlu – sila pergi ke tempat lain.

    “Tolong jangan fikir merokok atau menghisap vape itu satu gaya. Sebaliknya, beri tumpuan kepada pelajaran dan berusaha untuk menjadi insan yang dikenang atas pencapaian anda,” katanya dalam ucapannya di ibu negara hari ini.

    Pelancaran Pelan Kawalan Kanser Kebangsaan memperkukuh komitmen kerajaan Kemboja terhadap pencegahan dan pengurusan penyakit itu di negara berkenaan.

    Menurut statistik Kementerian Kesihatan Kemboja, negara itu mencatat kira-kira 20,000 kes kanser setiap tahun, dengan sekitar 14,000 kematian berkaitan kanser direkodkan setiap tahun. – Bernama

    Hun Manet menegaskan bahawa pelaburan dalam pengeluaran rokok elektronik tidak dialu-alukan di Kemboja. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda