Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil tindakan terhadap keganasan di sekolah

    Oleh Dr Milton Lum –

    KUALA LUMPUR – Laporan terkini mengenai keganasan di sekolah telah menyentuh teras asas Malaysia.

    Masyarakat umum tidak pernah didedahkan dengan tahap kekejaman sedemikian dalam kalangan golongan muda.

    Tindak balas daripada pihak berkuasa mendedahkan bahawa masalah yang membarah ini telah lama disembunyikan, diabaikan, malah dalam sesetengah keadaan, dihalalkan.

    Rogol sering dianggap sebagai satu stigma terhadap mangsa, bukannya pelaku.

    Keganasan dalam rumah tangga pula sering dianggap sebagai urusan peribadi.

    Ramai yang memilih untuk menutup mata dan berpaling walaupun terdapat data yang jelas menunjukkan tahap serius masalah ini.

    Keganasan dan buli di sekolah bukanlah fenomena baharu, namun peningkatan tingkah laku tersebut sehingga melibatkan kes rogol dan pembunuhan telah menambah keperluan mendesak untuk menangani isu-isu ini dengan lebih berkesan. – Freepik

    KEGANASAN DAN KESIHATAN

    Keganasan merupakan faktor risiko utama kepada kesihatan yang buruk.

    Kesan fizikal dan mental akibat keganasan, khususnya terhadap wanita, amat mendalam dan membawa kesan jangka pendek serta jangka panjang.

    Antara kesan jangka panjang termasuklah peningkatan risiko kehamilan tidak diingini, pengguguran tidak selamat, jangkitan penyakit kelamin (STI) termasuk HIV/AIDS, serta anak damit lahir pramatang atau kurang berat badan.

    Selain itu, trauma berpanjangan dan tekanan kronik turut menjejaskan kesejahteraan individu.

    Kajian menunjukkan wanita yang terdedah kepada keganasan lebih kerap menggunakan perkhidmatan kesihatan berbanding wanita yang tidak didera, walaupun bertahun-tahun selepas kejadian.

    Terdapat juga bukti bahawa keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi penghalang kepada penyertaan sosial mereka, sekali gus menjejaskan pembangunan sosioekonomi.

    MENANGANI KEGANASAN DI SEKOLAH

    Semua bentuk keganasan, tanpa mengira siapa mangsanya, merupakan isu serius berkaitan hak asasi manusia dan kesihatan awam.

    Lelaki dan kanak-kanak lelaki juga berisiko terhadap pelbagai bentuk keganasan, sama seperti wanita dan kanak-kanak perempuan, yang semuanya membawa kesan kesihatan awam yang besar.

    Antara tindakan penting untuk menangani keganasan di sekolah termasuk:

    1. Kepimpinan

    Kepimpinan perlu ditunjukkan melalui kecaman terbuka terhadap keganasan, khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan serta melalui galakan terhadap kesamarataan jantina.

    Pelan tindakan kebangsaan yang mempunyai langkah operasi khusus, bajet dan sasaran terukur bagi setiap sektor perlu dirangka, diumumkan secara terbuka dan dipantau pelaksanaannya.

    2. Penguatkuasaan Undang-undang dan Prosedur Standard (SOP)

    Tindakan yang mencabar sikap dan tingkah laku diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan perlu disokong.

    Ini termasuk membantah sebarang bentuk penerimaan terhadap keganasan, kawalan lelaki terhadap tingkah laku wanita, dan budaya maskuliniti toksik yang menggalakkan kekerasan.

    3. Pelaburan Dalam Pencegahan Keganasan

    Perlu ada intervensi sosial untuk mengubah norma yang mengekalkan ketidaksamarataan jantina.

    Faktor risiko individu seperti pengalaman keganasan pada zaman kanak-kanak, penyalahgunaan bahan dan media sosial perlu ditangani.

    Kerjasama dengan pihak media harus digalakkan bagi memupuk sikap tidak menerima keganasan serta meningkatkan empati terhadap mangsa.

    4. Memperkukuh Peranan Sektor Kesihatan

    Kesedaran dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan, pembuat dasar, pengurus dan orang awam mengenai beban kesihatan akibat keganasan perlu dipertingkatkan.

    Keganasan perlu ditangani dalam program kesihatan berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif, kesihatan remaja, ibu dan anak, kesihatan mental, serta pencegahan penyakit berjangkit dan penyalahgunaan bahan serta media sosial.

    5. Pelaburan Dalam Pengumpulan Data dan Penyelidikan

    Pengumpulan, analisis dan pelaporan terkini mengenai semua bentuk keganasan di sekolah perlu dijadikan keperluan nasional.

    Penyelidikan dan penilaian program pencegahan keganasan juga perlu dipertingkatkan.

    JANGKAAN IBU BAPA

    Kanak-kanak menghabiskan banyak masa mereka di sekolah.

    Setiap ibu bapa mengharapkan sekolah membentuk nilai positif dalam diri anak mereka seperti disiplin, tanggungjawab, hormat, kerendahan hati, kerja keras dan semangat berpasukan.

    Sama pentingnya bagi mereka untuk diajar membezakan nilai positif dan negatif, termasuk isu seperti ketidakhormatan, merokok, penyalahgunaan bahan, penyalahgunaan media sosial dan budaya samseng.

    Ibu bapa juga mengharapkan sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menjamin keselamatan anak-anak mereka setiap masa, serta guru yang mengasuh pelajar seperti anak sendiri.

    Selain itu, ibu bapa mahu sekolah menjadi pendorong supaya anak-anak mereka berusaha keras dan mencapai potensi maksimum.

    LAPORAN TERDAHULU

    Visi Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”, dengan misinya “Menegakkan sistem pendidikan berkualiti yang membangunkan potensi individu sepenuhnya serta memenuhi aspirasi negara.”

    Data daripada Sistem Disiplin Murid menunjukkan skala sebenar masalah di sekolah:

    • 2022: 3,833 laporan buli

    • 2023: 6,528 laporan buli

    • 2024: 7,681 laporan buli

    Daripada jumlah itu, 3,064 (2022), 5,418 (2023) dan 5,689 (2024) adalah dari sekolah menengah – menandakan pelajar sekolah rendah juga semakin terlibat.

    Jumlah laporan pada 2024 dua kali ganda berbanding 2022.

    Namun, angka ini masih tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana banyak kes tidak dilaporkan.

    Persoalannya:

    • Apakah laporan keganasan ini dianalisis dan ditindaklanjuti?

    • Adakah jenayah dilaporkan dan jika tidak, mengapa?

    • Wujudkah SOP untuk mencegah buli dan keganasan?

    • Adakah pengawasan lemah menyumbang kepada peningkatan kes?

    • Adakah hasil analisis digunakan dalam pembuatan keputusan atau sekadar difailkan?

    Banyak laporan media menyatakan ibu bapa pelbagai kaum menghantar anak mereka ke sekolah aliran Cina kerana percaya tahap disiplin lebih tinggi.

    Adakah laporan buli menyokong persepsi ini?

    Masyarakat berhak tahu.

    Kenyataan Martin Bromiley daripada Clinical Human Factors Group di United Kingdom amat relevan untuk semua pembuat keputusan pada semua peringkat.

    “Fikirkan, adakah saya mewujudkan suasana yang mendorong orang untuk bersuara kepada saya?

    “Adakah reaksi saya menunjukkan bahawa saya mahu mendengar pandangan mereka?
    “Ingat, yang penting ialah apa yang betul, bukan siapa yang betul.

    “Jadilah pemimpin yang tegas dan berani mencabar, tetapi jangan sesekali menakutkan atau memperkecilkan orang lain kerana ketika itu awda telah kehilangan rasa hormat mereka, dan pandangan awda terhadap situasi tidak lagi lengkap,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda