Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil ubat, cegah penyakit buah pinggang kronik

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Secara purata dalam tiga tahun kebelakangan ini, dari 2021 sehingga 2023, seramai 199 orang pesakit buah pinggang peringkat akhir telah meninggal dunia setiap tahun di Negara Brunei Darussalam.

    Pada 2023, Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Brunei Darussalam telah mencatat seramai 1,018 orang mengalami penyakit buah pinggang peringkat akhir dan seramai 278 orang pesakit baharu disenaraikan dalam program dialisis dan pemindahan buah pinggang.

    “Di seluruh dunia, lebih 850 juta orang dianggarkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Penyakit buah pinggang adalah punca kematian ke-8 tertinggi di seluruh dunia, menyebabkan lebih 3.1 juta kematian pada 2019.

    “Jika tidak ditangani, penyakit buah pinggang kronik dijangka menjadi penyebab utama kematian ke-5 pada 2040.”

    Perangkaan itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2024.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan, seramai 1,018 orang mengalami penyakit buah pinggang peringkat akhir pada 2023. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Dalam perutusannya lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa setiap tahun, Hari Buah Pinggang Sedunia diraikan pada Khamis kedua Mac di mana sambutan itu adalah kerjasama antara Persatuan Nefrologi Antarabangsa (ISN) dan Persekutuan Yayasan Buah Pinggang Antarabangsa (IFKF) sebagai satu usaha global yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kesihatan buah pinggang serta menggalakkan langkah-langkah pencegahan dan penjagaan buah pinggang.

    Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 membawa tema Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua – Memantapkan Akses Rawatan yang Saksama dan Amalan Ubat yang Optima.

    Beliau menyatakan bahawa penyakit diabetes masih kekal sebagai punca utama penyakit buah pinggang peringkat akhir di negara ini, di mana ia menyumbang 74 peratus daripada semua pesakit penyakit buah pinggang peringkat akhir.

    Walaupun terdapat pelbagai punca penyakit buah pinggang lain, kawalan faktor risiko utama seperti diabetes dan darah tinggi tetap menjadi asas penjagaan untuk penyakit buah pinggang kronik.

    Dalam hubungan itu, beliau menekankan peningkatan kesedaran mengenai faktor risiko itu, di samping amalan gaya hidup yang sihat dan mematuhi rejimen rawatan, boleh membawa manfaat yang ketara, terutamanya jika langkah-langkah itu dimulakan dari awal dan dikekalkan secara konsisten.

    Dalam tempoh tiga dekad yang lalu, usaha rawatan penyakit buah pinggang kronik telah difokuskan kepada penyediaan dan penghantaran terapi penggantian buah pinggang iaitu rawatan melalui hemodialisis, dialisis peritoneal, atau pemindahan buah pinggang.

    “Pada masa ini, kemajuan terapeutik telah membuka peluang untuk mencegah atau menangguhkan penyakit dan mengurangkan komplikasi penyakit buah pinggang.

    “Rawatan ini bertujuan untuk memanjangkan kualiti dan kuantiti kehidupan bagi pesakit yang mengalami penyakit buah pinggang kronik,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato menambah, “Syukur Alhamdulillah, rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sangat bertuah kerana perkhidmatan kesihatan di negara ini mudah diakses oleh semua.

    “Walaupun dengan pemberian pelbagai rawatan dan ubat-ubatan secara percuma, masih terdapat segelintir pesakit kurang menghargai ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor. Bahkan, ada yang lebih cenderung untuk mengambil ubat tradisional atau suplemen yang belum terbukti keberkesanannya dan risikonya, sehingga terlambat dan merosakkan buah pinggang mereka.”

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memastikan ubat-ubatan untuk diberikan kepada pesakit adalah tepat dan memberikan kesan positif terhadap kesihatan mereka.

    Sebagai contoh, pembekalan ubat-ubatan baharu yang terbukti mampu melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik. Walaupun kos pembelian ubat-ubatan berkenaan dianggap mahal, jelas beliau, impaknya telah diimbangi dengan manfaat
    yang ditawarkan, seperti dapat menghentikan atau melambatkan ke arah kemerosotan penyakit buah pinggang peringkat akhir.

    Rawatan penyakit buah pinggang kronik seharusnya bermula dari awal, dengan harapan ia dapat mengurangkan komplikasi penyakit dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan rawatan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada tingkah laku dan pengambilan rendah ubat-ubatan itu termasuk kurangnya kesedaran pesakit tentang penyakit mereka dan impaknya ke arah kesihatan jika tidak dirawat mengikut apa yang dinasihatkan oleh doktor atau profesional kesihatan.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil pelbagai inisiatif, antaranya adalah dengan mengadakan jerayawara dan publisiti media untuk menekankan kepentingan penjagaan kesihatan, terutama dalam kalangan mereka yang berpenyakit, termasuk dalam meningkatkan penggunaan ubat-ubatan yang telah terbukti memberikan kesan positif.

    Akses yang saksama kepada pemeriksaan penyakit buah pinggang, saringan awal serta rawatan berkualiti adalah penting untuk pencegahan dan perkembangan penyakit buah pinggang kronik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda