Monday, October 3, 2022
23.6 C
Brunei

Ambil vaksin adalah satu ikhtiar

-

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Islam amat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan maka sebagai hamba Allah adalah menjadi tanggungjawab penganutnya untuk menjaga diri dan menjauhi diri daripada segala perkara yang boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan.

Walaupun Negara Brunei Darussalam sedang mengharungi situasi sukar disebabkan pandemik COVID-19, akan tetapi umat Islam hendaklah bersangka baik terhadap ketentuan dan ketetapan Allah SWT dan segala kejadian itu berlaku pasti ada hikmahnya.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bersama Melindungi Negara Kitani’ mengingatkan setiap kejadian yang didatangkan Allah SWT itu memiliki hikmah di sebaliknya maka sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersangka baik terhadap segala ketentuan dan ketetapanNya.

“Ingatlah, janji Allah SWT di dalam Al-Quran bahawa setiap kesusahan itu pasti diiringi dengan kemudahan atau pun kesenangan,” ujar khatib.

Jelasnya, perkara ini terbukti dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang tafsirnya ‘Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan’.

Khatib turut menyatakan dengan adanya perlaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 di bawah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi seluruh rakyat dan penduduk yang bermastautin di negara ini perlu mengetahui bahawa vaksin adalah cara mudah, selamat dan berkesan untuk mengawal individu daripada terkena jangkitan yang lebih serius sebagaimana fatwa yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan bahawa penggunaan vaksin COVID-19 itu adalah harus menurut hukum syarak.

“Islam turut menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga, merawat dan meningkatkan kesihatan serta menjauhi diri daripada segala macam penyakit dan kemudaratan,” tekannya lagi.

Menurutnya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah SWT,” jelas khatib.

Selain itu beliau turut memberi peringatan bahawa mengambil suntikan vaksin itu adalah antara ikhtiar dan usaha kita bagi melindungi negara dan bagi mengekang penularan jangkitan virus COVID-19. Di akhir khutbahnya, khatib menyeru umat Islam untuk sentiasa memperbanyakkan membaca doa agar wabak COVID-19 dijauhkan dari negara ini dan berdoa agar seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat rahmat dan perlindungan Allah SWT serta selamat dari segala wabak penyakit.

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengambil langkah yang perlu untuk menjaga, merawat dan meningkatkan kesihatan serta menjauhi segala penyakit dan kemudaratan.- Gambar oleh Muiz Matdani
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -