‘Ambil vaksin lindungi diri daripada COVID-19’

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seorang wanita warga emas yang datang ke Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, hari ini, menyarankan orang ramai untuk segera mengambil vaksin bagi menjaga diri daripada ancaman COVID-19.

Dayang Amnah binti Haji Mohiddin, salah seorang penduduk yang menetap di sekitar Kampong Ayer menzahirkan kesyukuran dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan kerana menyediakan perkhidmatan vaksinasi bergerak yang amat memudahkan penduduk yang tinggal di sekitar Kampong Ayer untuk mendapatkan vaksin.

Beliau yang ditemani anak perempuannya itu juga turut tidak lupa untuk menasihati orang ramai agar tidak takut untuk mengambil vaksin bagi menjaga keselamatan diri dan masyarakat daripada bahaya COVID-19.

Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang diadakan di pusat kesihatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan setelah kira-kira 150 orang penduduk sekitar kawasan tersebut hadir untuk menerima vaksin, hari ini.

Sesi vaksinasi itu yang dijalankan selama dua hari hingga esok (24 Oktober) akan bermula jam 9 pagi hingga 2:30 petang.

Dayang Amnah menasihatkan orang ramai yang belum mendapatkan vaksin untuk segera melakukannya.
ATAS & BAWAH: Antara yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam.

Pegawai Jururawat, Dayang Siti Noor Dzuhardah binti Haji Awang Damit semasa ditemu bual di pusat tersebut menjelaskan perkhidmatan vaksinasi bergerak itu khusus untuk penduduk di Kampong Ayer dan kawasan sekitarnya.

“Sebanyak 250 slot dibukakan pada hari pertama ini manakala esok (Ahad) berkemungkinan slot akan ditambah memandangkan tempoh masa beroperasi dibukakan lebih panjang pada hari tersebut nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan terhadap perkhidmatan tersebut, Dayang Siti Noor Dzuhardah mengongsikan sambutan yang cukup menggalakkan telah diterima pada hari pertama ini termasuklah daripada warga emas dan golongan orang berkeperluan khas.

Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan kepada penduduk yang akan menghadirkan diri ke sana nanti untuk bersabar dan dapat memberikan kerjasama pada setiap masa, bermula daripada pendaftaran sehinggalah proses vaksinasi selesai.

Perkhidmatan tersebut turut membolehkan para penduduk setempat mendapatkan suntikan COVID-19 secara ‘walk-in’.

Di samping itu, bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat kesihatan tersebut disebabkan masalah kesihatan, Kementerian Kesihatan juga telah menjalankan program vaksinasi di rumah-rumah persendirian.