Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Program Akademi Dakwah 5.0 terus mencetuskan semangat masyarakat melalui penganjuran perlawanan Ambuy-Du’at yang berlangsung malam tadi di Pusat Dakwah Islamiah.
Acara itu bukan sekadar satu bentuk pertandingan, malah menjadi medan untuk melatih kepimpinan, memupuk kerjasama berpasukan dan memupuk kreativiti dalam penyampaian mesej Islam secara tersirat dan tersurat.
Hadir selaku juri khas pertandingan ialah Profesor Mohd Rozan bin Haji Mohd Yunos, lebih dikenali sebagai Prof Rozan Yunos. Semasa sesi, beliau turut berkongsi kata-kata motivasi serta pengalaman berharga kepada peserta, membakar semangat mereka dalam usaha memperkukuh misi dakwah.
Selain itu, program turut menampilkan sesi istimewa Pillow Talk, ruang santai untuk para peserta berbual, berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan peranan pendakwah masa kini, menampilkan refleksi rohani serta menyemai ukhuwah dalam kalangan peserta.
Akademi Dakwah 5.0 membuktikan bahawa hiburan mampu menjadi platform untuk pendidikan rohani dan intelektual, jika dilaksanakan berpandukan nilai Islam. Ia mencerminkan pendekatan holistik dalam melahirkan generasi muda Islam yang tidak hanya cemerlang dari segi ilmu, malah memiliki akhlak mulia serta kepekaan terhadap keperluan masyarakat.
Program berkenaan memperlihatkan keberhasilan pendekatan dakwah kontemporari yang menyatukan nilai tradisi dan keperluan semasa, melahirkan pendakwah yang bersedia memimpin, menyantuni dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Acara itu dikendalikan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama, untuk melahirkan generasi pendakwah yang berkualiti dan berpengaruh positif.