KUANTAN, 5 JULAI – Keunikan menu tradisi masyarakat Borneo, Ambuyat atau linut yang dihidangkan oleh wanita berbusana tradisi masyarakat Iban menjadi tumpuan ramai pengunjung di reruai Kementerian Perpaduan Negara pada hari pertama Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur, di Dataran Sayangi Kuantan di sini, hari ini.
Pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dilihat ‘teruja’ dan tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba menu tradisi itu, yang dimakan begitu sahaja ataupun bersama dengan latok atau rumpai laut, berbanding kuih tradisi bangsa lain yang turut sama dipamerkan.
Seorang pengunjung reruai berkenaan Aishah Mazlan, 29, berkata program MADANI Rakyat itu merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan makanan tradisi masyarakat Borneo kepada penduduk sekitar sini.
Selain daripada ambuyat, menu tradisi masyarakat Orang Asli iaitu nasi impit bersama dengan sambal khas seperti serunding, gulab jamun (manisan India), kuih bulan, kuih bakul (kuih bangsa Cina) dan berbagai lagi kuih warisan masyarakat majmuk negara itu turut menjadi tumpuan pengunjung.
Kemeriahan sambutan di reruai itu tidak hanya fokus kepada keenakan hidangan tradisional semata-mata, tetapi pengunjung berbagai peringkat umur juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk menggayakan pelbagai busana tradisi secara percuma.
Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat, Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perpaduan Negara, Nor Suzamah Abdul Rahman berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa serta mempunyai kepelbagaian jenis makanan, merupakan satu keunikan dan inilah yang ditonjolkan kementerian sepanjang Program MADANI Rakyat.
Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dilihat dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI. – Bernama